Pilih PH bagi ‘lindungi’ rakan-rakan UMNO

SHAH ALAM: Pilih Pakatan Harapan (PH) bukan untuk menjadi ketua sebaliknya bagi memastikan rakan-rakannya di dalam UMNO selamat (tidak dipecat).

Begitu penjelasan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO,  Zahidi Zainul Abidin yang dipecat kerana menentang calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.

Beliau mahu meneruskan wadah perjuangan yang dimulakan sejak 40 tahun lalu melalui PH dan selepas dipecat, beliau tidak mahu bermusuh sebaliknya masih mahu bersahabat dengan ahli-ahli UMNO yang lain.

“Saya nak mencari yang tiada masalah, contohnya kalau saya masuk PN (Perikatan Nasional) kalau orang UMNO jumpa saya mungkin dia boleh dipecat. Presiden UMNO ini kalau ada silap dia pecat walaupun dia kata tak ikut prosedur betul, kuasanya dia boleh pecat sesiapa sahaja,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu, berkata demikian dalam program Sinar Live ‘Kenapa Pilih PH’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian semalam.

Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau perlu memastikan rakan-rakannya di dalam UMNO selamat (tidak dipecat) kerana mahu berkawan dengannya.

“Saya harus ‘protect’ kawan-kawan yang hendak jumpa saya. Tetapi bila saya masuk Pakatan Harapan (PH) jadi nak pecat macam mana sebab dia (Presiden UMNO) pun berpakat dengan Anwar.

“Apabila saya sebut PKR bermakna saya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mana UMNO menyokong Perdana Menteri yang ada sekarang.

“Kamu di peringkat menteri Kabinet boleh berbincang bersama-sama, kami orang UMNO tidak boleh bersama saya jadi boleh teruskan persahabatan buat gerakan bersama kerana PH dan UMNO adalah kerajaan yang sama,” ujarnya.

Zahidi sebelum ini antara dua bekas pemimpin kanan UMNO Perlis selain Ahli Parlimen Arau,  Shahidan Kassim yang dipecat dari parti itu berikutan langkahnya yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Padang Besar pada PRU15.

Related posts

Leave a Comment