PRU punca ‘pergolakan’ bukan pemilihan

SELEPAS ‘pembersihan’ dilakukan dengan yang terakhir pemecatan Tun Faisal Ismail Aziz, UMNO dengan lebih 22,000 cawangan, Pemuda , Wanita dan Puteri memulakan mesyuarat dan pemilihan mulai hari ini. Selamat bersidang!

Proses demokrasi secara total diteruskan di peringkat akar umbi yang memberi kebebasan untuk memilih siapa sahaja sebagai pemimpin mereka di peringkat cawangan diikuti peringkat bahagian pada 18 Mac ini.

Walaupun ‘demokrasi terpimpin’ berlaku dalam pemilihan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, anggota parti masih berpeluang secara bebas memilih pemimpin di peringkat cawangan dan di 191 bahagian.

Manfaatkan pemilihan kali ini. PRU sudah berlalu. Tiada lagi alasan pemilihan parti menyebabkan perpecahan yang boleh menjejaskan persiapan PRU. Sebaliknya hari ini PRU pula menyebabkan pertelingkahan, jika tidak ke tahap perpecahan.

Mungkin barisan kepemimpinan yang baharu ini akan memimpin parti pada PRU akan datang. Yang lama eloklah beri pada muka baharu yang lebih ‘bertenaga’, jangan menunggu sehingga Presiden gugurkan mereka.

Pemilihan adalah episod penting untuk parti tetapi kali ini pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Selak kembali apa yang berlaku pada PRU lalu. Di mana kedudukan UMNO yang pada kali kedua gagal menubuhkan kerajaan.

Di mana silapnya pada PRU lalu, UMNO kalah bergaya di tujuh negeri apabila PN atau PH menyapu bersih kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.

Selepas tewas di gelanggang PRU, UMNO ‘gawat’ di gelanggang sendiri apabila berlaku ‘pembersihan’ melibatkan beberapa nama besar dan berpotensi yang sepatutnya menjadi sandaran parti pada hari ini dan masa depan.

Hakikatnya, episod gantung dan pecat anggota UMNO ketika ini adalah disebabkan PRU15 ketika pimpinan parti bercita-cita mahu menang 112 kerusi tetapi pada masa yang sama dikatakan ‘mencipta kekalahan’ berikutan pemimpin yang digugurkan.

Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Noh Omar dan Tun Faisal Ismail Aziz dipecat selepas PRU sementara yang layak dipecat kerana bertanding menentang BN adalah Shahidan Kassim, Dr Ismail Abd Muttalib, Azahar Ahmad dan Zahidi Zainul Abidin.

Manakala ketua bahagian yang digantung selama enam tahun adalah Hishammuddin Hussein (Sembrong), Maulizan Bujang (Tebrau), Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Mohd Yusof Ismail (Alor Setar). Begitu juga Naib Ketua Pemuda UMNO Shahril Sufian Hamdan.

Adakah pemecatan dan penggantungan mereka mampu memadam episod duka UMNO pada PRU lalu? Benarkah mereka ini layak digelar ‘musang berbulu ayam, gunting dalam lipatan, duri dalam daging’ bahkan pengkhianat?

Sejauh mana UMNO lebih selamat selepas pembersihan jika parti masih ada ‘enau dalam belukar, sokong bawa rebah, pepat di luar rencong di dalam, cakap berdegar-degar tahi tersangkut di gelegar, pandai berundang; atau alah main menang sorak.

Tidak kurang juga dalam UMNO, mereka yang mengamalkan politik sate seperti sering diperingatkan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi. Golongan ini memainkan peranan sebagai tukang cucuk, tukang bakar dan tukang kipas.

Realitinya, bukan mudah untuk menapis golongan yang pelbagai ragam dalam parti. Apabila mereka bercakap dan bertindak, semuanya bergantung kepada niat dan penerimaan ahli serta kepemimpinan parti.

Bahasa mudah punca penggantungan adalah kerana sabotaj parti. Kenapa sabotaj? Pemimpin sudah tentu ada jawapannya. Mungkin salah satu sebab tidak dicalonkan.

Digugurkan dengan alasan popular untuk beri peluang kepada muka baharu walaupun realitinya ada muka lebih lama diturunkan yang berpotensi untuk kalah. Apabila yang baharu mengambil alih, mereka kecundang. Kalah kerana sabotaj?

Sebaliknya muka lama (UMNO) yang digugurkan menang PRU selepas berpindah parti kecuali muka lama Pas yang berpindah kepada UMNO tewas.

Adakah Noh, Annuar dan Tajuddin juga akan menang jika mereka berpaling tadah selepas digugurkan daripada senarai calon? Tetapi mereka ini kekal dalam UMNO, masih setia dan menyayangi UMNO sehinggalah ditunjuk jalan keluar.

Hakikatnya ramai yang di luar UMNO menyayangi UMNO walaupun terpaksa ‘mengorbankan’ UMNO pada PRU lalu atas sebab-sebab tertentu. Sedarlah, calon UMNO belum tentu menang jika mengharapkan undi anggota UMNO.

Malahan yang hebat berhujah, menyindir atau mengkritik melalui media sosial pun belum tentu boleh menang apabila keputusan memilih terletak di tangan pengundi.

Ada juga ketua bahagian yang didakwa sabotaj kerana melanggar ‘disiplin’ parti termasuk yang mahu merealisasikan kerajaan impian ‘No Anwar No DAP’. Hasrat mereka mungkin baik tetapi akhirnya dilabel sebagai pengkhianat.

Mungkin nasib mereka yang dilabel pengkhianat, musuh dalam selimut atau musang berbulu ayam lebih baik jika keputusan ditentukan oleh anggota UMNO di bahagian.

Semasa kempen, mungkin cara mereka berhujah di pentas ceramah menyinggung atau melukakan pemimpin tertentu tetapi dalam politik, mungkin itu juga kaedah untuk menarik perhatian pengundi atau pendengar.

Mungkin mereka ‘mengkritik’ UMNO di atas pentas untuk menunjukkan UMNO terbuka untuk dikritik, tidak malu mengaku kesilapan atau kekurangan yang tujuannya bukan sekadar meraih undi tetapi menarik penyertaan kepada UMNO.

Harus diingat, UMNO tidak boleh berbangga lagi dengan jumlah ahlinya yang ramai yang belum pasti memberi sokongan.

Apa pun peringatan kepada yang digantung, mereka dijangka terlepas dua kali pemilihan dan satu PRU. Enam tahun tanpa berpolitik satu tempoh yang panjang. Justeru berhati-hati ketika bercakap. Pilihan yang ada jadilah orang yang mendengar cakap.

Related posts

Leave a Comment