Remaja radikal ditahan di bawah ISA

SINGAPURA 1 Feb.- Seorang pelajar berusia 18 tahun, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah dia merancang untuk menyerang beberapa sasaran di Singapura termasuk sebuah kem tentera dan tapak perkuburan di sebuah masjid.

Muhammad Irfan Danyal Mohamad Nor, warga Singapura yang didakwa sebagai
penyokong ISIS, merupakan belia warga Singapura kesembilan berusia 20 tahun ke bawah – yang ditahan atau diberi perintah sekatan di bawah ISA sejak 2015.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), dia menjadi radikal menerusi propaganda online dan berniat melakukan perjalanan ke luar negara untuk melibatkan diri dalam keganasan bersenjata.

Irfan, yang ditahan pada Disember, berada dalam pemantauan pihak berkuasa, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.

Pelajar pos-menengah itu mula menonton video-video di YouTube pada 2020 oleh pendakwah asing dan mengambil bahagian dalam perbincangan di platform-platform media sosial yang mendedahkannya kepada propaganda ISIS.

Pada 9 Ogos tahun lalu – Hari Kebangsaan Singapura – Irfan memacak bendera buatan sendiri berdasarkan bendera kumpulan pengganas yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, Hayat Tahrir al-Sham, di Pulau Coney.

Dia mendakwa perbuatan itu melambangkan permulaan khalifahnya sendiri, yang dinamakan “Negara Islam Singhafura”.

Pada hari yang sama, dia memuat naik gambar-gambar bendera tersebut di akaun media sosialnya sambil menggalakkan orang lain menyertai khalifahnya diikuti pada Oktober, dia memutuskan untuk ke luar negara bagi keganasan bersenjata.

Sebelum perjalanan ke luar negara, Irfan membeli sebilah pisau dari sebuah kedai runcit pada Ogos tahun lalu.

Dia merancang untuk menikam dan membunuh individu-individu yang dianggap “kafir” di lorong-lorong gelap dan mengambil barangan peribadi mereka sebagai rampasan perang untuk tentera pengganasnya.

Golongan “kafir”, menurut pandangannya, termasuk mereka yang bukan Muslim, Muslim Shia dan Muslim Sufi.

Irfan juga mempunyai rancangan untuk melaksanakan serangan secara besar-besaran terhadap Kem Amoy Quee di Ang Mo Kio, tempat ibu pejabat Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC).

Melalui video-video insiden bom kereta, Irfan mahu mendapatkan seorang pengebom nekad, yang boleh melaksanakan serangan tersebut di pintu kem tersebut.

Dia ingin memimpin kumpulan tenteranya untuk menyerang pengawal-pengawal lain di pintu tersebut menggunakan senjata-senjata seperti kapak dan pisau, dan mencuri senjata api dari rumah pengawal.

Satu lagi rancangan yang dipertimbangkannya adalah serangan bom di Keramat Habib Noh, sebuah tapak kubur di Masjid Haji Muhammad Salleh, yang dipercainya sebagai “tidak selaras dengan Islam”.

Irfan memuat turun manual online untuk membuat bom, untuk dijadikan rujukan bagi membina bahan letupan buatan sendiri bagi meratakan kubur tersebut.

Bagaimanapun ketika Irfan diberkas, rancangannya terhadap kem Amoy Quee dan Keramat Habib Noh belum sampai ke tahap pembentukan idea itu.

Menurut ISD, anggota keluarga Irfan tidak menyedari tentang rancangan serangan serta hasratnya untuk melakukan keganasan di luar negara.

Sementara itu Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata, seorang kaunselor agama dari Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) akan memberi bimbingan kepada Irfan, mendidiknya mengenai Islam.

ISD juga sudah mengatur rancangan dengan sekolah remaja itu untuk membolehkannya meneruskan pendidikannya supaya dia dapat menduduki peperiksaan ketika ditahan.

Related posts

Leave a Comment