PH-BN cuba bunuh kredibiliti BERSATU?

SEPANG 1 Feb. –  BERSATU kesal dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) yang didakwa menjadikan agensi kerajaan sebagai alat mencapai matlamat politik untuk membunuh kredibiliti parti itu dan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainudin, berkata susulan pembekuan akaun parti itu, BERSATU akan memberi kerjasama dalam siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya fitnah dapat dihentikan.

Beliau merujuk kepada laporan berita mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki bahawa, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Azam dilaporkan berkata, siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

“BERSATU dapat menerima alasan bahawa langkah yang diambil SPRM adalah sebahagian daripada proses siasatan mereka terhadap fitnah yang dilemparkan kepada BERSATU,” katanya.

Justeru, pemimpin dan pegawai parti BERSATU yang diminta memberi keterangan kepada SPRM juga sudah diarahkan memberi kerjasama sepenuhnya.

“Kami yakin, rakyat sentiasa sedar mengenai strategi jelek PH-BN yang mahu memesong perhatian rakyat daripada kelemahan, kegagalan serta amalan nepotisme kerajaan mereka,” katanya.

Hamzah berkata, BERSATU sentiasa tegas dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik.

“Semua ahli BERSATU dan pemimpin semua peringkat diminta bersabar dan terus beristiqamah dalam menghadapi ujian dan fitnah ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment