Empat tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong

HARI ini 31 Januari 2023, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut ulang tahun keempat baginda memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 dalam satu istiadat penuh gilang gemilang di Istana Negara pada 31 Januari 2019.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini menyatakan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpahan rahmat dan inayah-Nya, Seri Paduka Baginda bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan sebagai Ketua Negara.

“Setinggi-tinggi kesyukuran juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana rakyat dan negara sentiasa dirahmati nikmat keamanan dan keharmonian meskipun sepanjang tempoh empat tahun ini, negara dan rakyat telah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

“Marilah bersama-sama mendoakan agar Allah SWT terus menganugerahkan Seri Paduka Baginda keafiatan, kebijaksanaan dan keberkatan bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga berharap Malaysia di bawah naungan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara sentiasa dilindungi dan diberkati Allah SWT.

Untuk rekod, pada 12 Januari 2019 baginda ditabalkan sebagai Sultan Pahang Ke-6 dan dimasuhurkan pada 15 Januari 2019 bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ahmad Shah yang turun takhta kerana gering.

Tidak lama kemudian, pada 24 Januari Majlis Raja-Raja memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan.

Related posts

Leave a Comment