WASHINGTON – Presiden Donald Trump menawarkan bantuan untuk mencari penyelesaian kepada perang di Ukraine ketika mengadakan perbualan telefon hampir 90 minit dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Pembantu Kremlin, Yuri Ushakov berkata, tawaran itu dibuat Trump dalam perbualan yang berlangsung sempena Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) menjelang penyertaannya dalam sidang kemuncak NATO yang dijadual minggu depan di Turkiye.
Menurut Ushakov, Trump sekali lagi menegaskan komitmennya untuk berusaha menamatkan pertempuran dengan segera serta mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi krisis yang berlarutan sejak lebih empat tahun lalu.
Perbualan itu disifatkan Ushakov sebagai berlangsung secara profesional dan konstruktif, dengan Rusia menegaskan pendiriannya bahawa konflik tersebut perlu diselesaikan menerusi pendekatan politik dan diplomatik yang mengambil kira kepentingan asas Moscow.
Dalam masa sama, Ushakov menuduh Kyiv serta sekutunya di Eropah mahu memanjangkan dan meningkatkan konflik, termasuk menerusi serangan yang disifatkannya sebagai mensasarkan orang awam.
Beliau merujuk kepada siri serangan jarak jauh Ukraine terhadap sasaran di Rusia, terutamanya kemudahan berkaitan industri minyak, yang didakwa menyebabkan gangguan bekalan bahan api di beberapa wilayah negara itu.
Putin turut memaklumkan kepada Trump mengenai situasi terkini di medan perang dan mendakwa tentera Rusia sedang mara secara berterusan dengan menawan satu demi satu kawasan penempatan.
Rusia sebelum ini berulang kali menegaskan sebarang penyelesaian damai perlu melibatkan penguasaan penuh Moscow ke atas wilayah Donbas.
Ukraine menolak tuntutan tersebut, manakala Zelenskyy bulan lalu menggesa Putin untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka, namun, permintaan itu tidak mendapat sambutan daripada pemimpin Kremlin berkenaan.
Ushakov berkata, Trump turut memaklumkan, dua wakil khas Washington, Steve Witkoff dan Jared Kushner akan meneruskan usaha mencari penyelesaian konflik serta bersedia mengadakan lawatan baharu ke Moscow.
