SUBANG JAYA 31 Jan. – Mulai hari ini, lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam untuk golongan B40.
Ia selaras dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah oleh kerajaan, yang bertujuan memastikan golongan B40 khususnya mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.
Menu Rahmah dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Salahuddin Ayub, di Pasar Raya Mydin hari ini.
Salahuddin berharap menerusi inisiatif itu, tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran.
Lebih 15,000 restoran daripada tujuh persatuan pengusaha makanan dan minuman memberi komitmen mereka untuk menyediakan Menu Rahmah di premis masing-masing.
Beliau berkata, pihaknya juga pasti golongan yang berkemampuan tidak akan mengambil kesempatan memilih Menu Rahmah kerana mampu membeli sajian lain.
Sementara itu, Pasar Raya Mydin turut menyumbang 5,000 pek makanan Menu Rahmah kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terdiri daripada golongan B40.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Dr Ameer Ali Mydin, berkata pihaknya juga komited untuk memastikan semua pengusaha makanan di pasar rayanya di seluruh negara, akan menyediakan Menu Rahmah, untuk tempoh tiga bulan dan diteruskan jika keadaan mengizinkan.