Hishammuddin terima surat penggantungan

KUALA LUMPUR  31 Jan. – Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Tun Hussein hari ini menerima surat makluman mengenai penggantungan keahlian UMNO selama enam tahun mulai 27 Januari lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang alasan atau sebab khusus penggantungan dinyatakan melalui surat bertarikh 30 Januari 2023 yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan.

“Baru sahaja terima surat rasmi bertarikh semalam berhubung penggantungan keahlian UMNO saya. Tiada sebab penggantungan dinyatakan,” katanya melalui Facebooknya hari ini.

Surat itu hanya menyebut digantung hak keahlian di bawah Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 Perlembagan UMNO kerana tindakan melanggar Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Jumaat lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden parti, Dr Ahmad Zahid Hamidi,  membuat keputusan menggantung Hishammuddin yang juga Ketua UMNO bahagian Sembrong selama enam tahun.

Turut digantung bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol,  Mohd Salim Mohd Sharif.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti itu.

Related posts

Leave a Comment