KUALA LUMPUR 31 Jan. – Selepas digantung keahlian selama enam tahun pada 27 Mac 2021, Tun Faisal Ismail Aziz dipecat berkuat kuasa serta merta, hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT)) UMNO pada 5 Januari dan disahkan pada 23 Januari lalu.
Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya itu memaklumkan ibu pejabat UMNO menghubungi pihaknya pada jam 4.28 petang tadi dan menghantar surat pemecatan itu melalui aplikasi WhatsApp.
Melalui Facebooknya, Tun Faisal yang juga bekas Setiausaha Akhbar Annuar Musa turut berkongsi surat pemecatan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, bertarikh 27 Januari lalu.
Berdasarkan surat itu, tindakan pelucutan keahlian itu dibuat berikutan Tun Faisal dikesan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.
Tun Faisal yang sebelum lantang mengkritik kepemimpinan UMNO berkata, beliau tidak bercadang untuk membuat rayuan kerana mendakwa MKT dan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka menerima kritikan.
Beliau menegaskan, ‘penentangan’ yang dilakukannya selama ini bukanlah terhadap UMNO itu sendiri namun lebih kepada kepemimpinan dan individu.
Katanya, UMNO dan BN tidak ada masalah dan jelas prinsip perjuangannya tetapi yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Ahmad Zahid.
Beliau mendakwa Ahmad Zahid menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik beliau mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 dengan menandatangani akuan bersumpah (SD) dan surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
“Itu adalah punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020. Saya tidak dapat menyokong Ahmad Zahid disebabkan pengkhianatan ini dan penentangan saya terhadap beliau bermulanya daripada terbongkarnya pengkhianatan terbabit,” katanya.
Tun Faisal juga tidak dapat menerima pendekatan Zahid dalam memimpin UMNO dan BN untuk menghadapi PRU15 dan berpendapat Presiden UMNO sendiri adalah salah satu punca utama pengundi dan rakyat menolak UMNO dan BN dalam PRU15.
“Selepas kegagalan teruk dalam PRU15, Zahid membawa pula UMNO dan BN mengkhianati pengundi-pengundi UMNO dengan bertindak menyokong Anwar menjadi PM dan bekerjasama dengan parti-parti yang mempunyai ideologi yang bertentangan dengan UMNO,” katanya.
Beliau juga mendakwa tindakan ‘pembersihan UMNO daripada pemimpin-pemimpin yang menolak Zahid’ dan usaha menghalang pertandingan jawatan Presiden akan mengakibatkan UMNO semakin dijauhi penyokong dan ahli.
Pada masa sama, Tun Faisal turut melahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan UMNO selama ini dalam memajukan rakyat dan negara.
“Bersama-sama pemimpin yang lain, atas kapasiti saya, saya telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan UMNO dari dirosakkan dan menggali kuburnya sendiri. Apa boleh buat, setakat itu sahajalah,” katanya.
Tun Faisal bagaimanapun berkata berikutan pemecatan itu, beliau akan meneruskan perjuangan Islam dan ummah dalam kapasiti dan wadah yang lain di luar UMNO.
