Banyak negara gagal perangi rasuah

BERLIN: Indeks Persepsi Rasuah 2022 menunjukkan dunia masih gagal memerangi rasuah apabila 95 peratus negara hanya mencapai sedikit atau tiada langsung kemajuan sejak 2017.

Menurut laporan yang diterbitkan Transparency International, kerajaan yang terpalit rasuah tidak memiliki keupayaan melindungi rakyat manakala ketidakpuasan hati orang ramai lebih berkemungkinan berubah menjadi keganasan.

“Rasuah menjadikan dunia kita tempat yang lebih berbahaya. Memandangkan kerajaan secara kolektif gagal mencapai kemajuan bagi menentangnya, ia mendorong peningkatan keganasan dan konflik semasa.

Ia sekali gus membahayakan orang ramai di mana-mana,” kata Pengerusi Transparency International, Delia Ferreira Rubio.

Katanya, satu-satunya jalan keluar kepada masalah ini adalah sesebuah kerajaan berusaha keras membasmi rasuah di semua peringkat.

Beliau juga menggesa supaya kerajaan komited bekerja untuk semua pemegang taruh dan bukan hanya membabitkan segelintir puak elit.

Laporan yang mengukur persepsi rasuah dalam sektor awam itu turut menyenaraikan negara dari skala sangat tinggi rasuah (kosong) kepada sangat bersih (100).

Denmark dikategorikan negara paling kurang rasuah pada tahun ini dengan 90 mata, disusuli Finland dan New Zealand dengan 87 mata.

Negara Eropah Barat kekal sebagai rantau yang memperoleh markah tertinggi di samping terdapat juga beberapa negara yang menunjukkan tanda penurunan yang membimbangkan.

United Kingdom (UK) turun lima mata kepada 73 iaitu markah terendah pernah direkodkan kerana negara itu terpalit skandal perbelanjaan awam hingga melobi serta pendedahan salah laku menteri.

Switzerland dan Belanda memperoleh 82 mata kerana kebimbangan rakyat terhadap intergriti yang lemah dan kegiatan melobi manakala pencerobohan

Russia terhadap Ukraine meletakkan negara itu memperoleh 28 mata.

Ukraine pula memperoleh 33 mata dan kini sedang melakukan pembaharuan penting dalam sistem pentadbiran mereka.

Indeks yang menilai 180 negara dan wilayah mengkategorikan Somalia di kedudukan tercorot dengan 12 mata diikuti Sudan Selatan dan Syria di tempat kedua tercorot dengan 13 mata.

Related posts

Leave a Comment