KUALA LUMPUR 31 Jan. – Malaysia menuju ke ‘arah yang salah’ dalam memerangi rasuah, mendukung hak asasi manusia dan demokrasi di sektor awam berikutan Skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia 2022 merosot kepada 47 mata.
CPI yang dikeluarkan Transparency International (TI) itu, sekali gus menjadikan kedudukan Malaysia jatuh enam mata dalam tempoh tiga tahun dari kedudukan 53 pada 2019.
TI Malaysia dalam kenyataan berkata, berdasarkan laporan itu, indeks mata 0 adalah sangat korup dan 100 dianggap paling bersih.
“Negara Skandinavia terus mendominasi kedudukan indeks dengan Denmark, Finland, Norway dan Sweden antara 10 negara teratas atau ‘terbersih’, diikuti New Zealand dan Singapura dari rantau Asia Pasifik.
Manakala kedudukan terbawah indeks, prestasi terburuk adalah Venezuela, Syria , Sudan Selatan dan Somalia.
Menurut kenyataan itu, antara penyebab yang menyumbang kepada kemerosotan berterusan adalah tindakan terhad kerajaan terdahulu dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan amalan hak asasi manusia.
Selain itu, kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi institusi anti-rasuah yang bebas dan berkesan serta dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Parlimen turut menyumbang kepada kemerosotan indeks.
Tafsiran yang terlalu luas mengenai Akta Rahsia Rasmi menyebabkan kurangnya ketelusan dalam hal kepentingan awam seperti kontrak rundingan secara langsung.
Di samping itu, keputusan mahkamah melepaskan tanpa membebaskan individu tertentu dalam kes rasuah berprofil tinggi menimbulkan persepsi negatif mengenai perjalanan proses undang-undang negara.
“Penjelasan yang lebih jelas daripada Jabatan Peguam Negara dapat mengurangkan persepsi sedemikian,” kata TI yang turut menggesa kerajaan mengambil langkah tegas dan jelas untuk menangani penurunan skor CPI tanpa kompromi.
Sebarang kelewatan akan memberi kesan negatif yang berpanjangan terhadap daya saing Malaysia dan matlamat untuk menjadi sebuah negara yang mementingkan etika dan integriti.
Menurut kenyataan itu, tindakan tegas dan afirmatif untuk mempercepat reformasi institusi akan membantu mempertingkatkan persekitaran tadbir urus baik, antaranya termasuk mengamalkan ketelusan dengan pendedahan maklumat, meningkatkan akauntabiliti dalam pentadbiran awam, reformasi SPRM menjadi institusi bebas.
