Rundingan lanjut isu tambak Batu Puteh

SINGAPURA: Langkah Singapura menambak kawasan sekitar Batu Puteh akan dibincangkan lebih lanjut dalam tempoh terdekat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau membangkitkan perkara itu pada pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam lawatan rasminya ke sini hari ini.

“Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sudah tetapkan Batu Puteh milik Singapura, jadi bila ada penambakan itu (di Batu Puteh) bagi Singapura, mereka ikut keputusan perundangan yang sudah diputuskan.

Namun Malaysia minta Singapura teliti semula kerana setiap tambakan beri kesan sampingan kepada iklim, persekitaran dan persempadanan negara. Jadi saya dapat peretujuan Singapura supaya mendengar hujah kita dalam rundingan lanjut yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Penafsiran, pentakrifan dan interpretasi serta persetujuan mengenai kerja penambakan itu sedang dibincang dan diperincikan, sejauh mana penambakan boleh dilakukan. Kita pastikan rundingan akan dilakukan secara baik antara dua negara sahabat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, di sini, selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama rakyat Malaysia selepas membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob.

Turut dibincangkan ialah isu bekalan air, kesesakan Tambak Johor dan penggunaan ruang udara.

Anwar berkata, Malaysia menyatakan kepada Singapura mengenai pendirian tidak bersetuju dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini tidak bersetuju membawa kes Batu Puteh untuk rayuan di ICJ.

“Bagaimanapun ICJ sudah buat keputusan dan kita sebagai negara berdaulat mestilah menghormati penghakiman ICJ. Yang kita pertikaikan adalah langkah penambakan yang dilakukan Singapura itu.

“Namun Singapura setuju supaya perkara ini diteliti pasukan rundingan, terutama hujah dan alasan yang kita kemukakan dari segi kerosakan persekitaran dan hal bersangkut sempadan yang perlu dirundingkan secara teliti sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Mengenai isu air, Perdana Menteri berkata, perbincangan akan diperincikan bagi memastikan bekalan air mencukupi kepada Johor dan Singapura dengan perkiraan baharu, termasuk membabitkan Pahang.

“Kita ucap terima kasih pada kesediaan Singapura yang membuka pintu rundingan yang akan beri ruang kepada bekalan air mencukupi untuk Johor dan Singapura. Namun ia perlu dibincangkan dengan kerajaan Pahang, Johor dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengenai lalu lintas ruang udara, kedua-dua negara sepakat untuk menetapkan kawasan yang harus jadi hak mutlak Malaysia dengan Singapura bersedia berbincang supaya laluan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Changi tidak diganggu bagi laluan penerbangan republik itu.

“Berhubung kesesakan di Tambak Johor yang kritikal, kedua-dua negara bersetuju supaya ia dibaiki sementara kita perkenalkan sistem digital lebih canggih,” katanya l

Malaysia juga bersetuju memberi kemudahan tambahan pada hujung minggu dan waktu puncak bagi melancarkan perjalanan pekerja Malaysia masuk dan balik dari Singapura dengan kemudahan semakmimum mungkin oleh Jabatan Imigresen dan Kastam.

(Foto FB DSAI)

Related posts

Leave a Comment