Hajiji bakal ketuai Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU 29 Jan. – Selepas meninggalkan Bersatu, sebelum itu UMNO, kini Ketua Menteri,  Hajiji Noor bakal mengetuai sebuah parti politik yang diberi nafas baharu iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah atau singkatannya Gagasan Rakyat.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, parti tempatan berkenaan bakal dilancarkan dalam masa terdekat, tetapi tidak menyatakan maklumat lebih terperinci mengenainya.

“Kita akan menggunakan parti ini sebagai platform untuk meneruskan perjuangan sebagai sebuah parti tempatan dan bernaung di bawah GRS,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS, di sini, hari ini.

Hajiji diminta mengulas perkembangan terkini mengenai parti baharu yang diumumkan beliau sebelum ini, sejurus selepas keluar daripada Bersatu pada Disember tahun lalu.

Ditanya lebih lanjut mengenai Gagasan Rakyat, Hajiji menyatakan parti itu adalah sebuah parti sedia ada namun kini sudah diambil alih oleh pihaknya.

Ini adalah parti yang sudah sedia ada dan kita hanya ambil alih sahaja. GRS pula telah menerima keahlian parti ini sejak 9 Disember lalu.

Dengan perkembangan ini, selain Gagasan Rakyat, parti yang berada di bawah GRS kekal lima iaitu Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Gagasan Rakyat ketika ini dipimpin Stephen Jimbangan yang pernah bertanding di kerusi DUN Kepayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Difahamkan, Gagasan Rakyat akan mengadakan mesyuarat terakhir di bawah kepemimpinan sedia ada pada pertengahan bulan depan sebelum penstrukturan semula yang melibatkan peralihan pemimpin.

Related posts

Leave a Comment