Ahli UMNO dipecat, digantung dipelawa sertai PUTRA

KUALA LUMPUR 29 Jan. –  Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mempelawa semua ahli UMNO yang dipecat atau digantung baru-baru ini menyertai parti itu bagi meneruskan kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu-Islam.

Presiden PUTRA, Dr Ibrahim Ali berkata, PUTRA juga terbuka kepada anggota parti lain yang kecewa serta mereka yang belum atau tidak berparti.

“PUTRA membuka pintu seluas luasnya kepada anda semua, kerana kami berlapang dada dan menerima sesiapa sahaja yang berhasrat untuk menyertai parti ini asalkan orang Melayu, Pribumi dan beragama Islam,” katanya.

Malahan kepemimpinan PUTRA sekarang bersedia memberi laluan kepada muka-muka baharu untuk meneruskan usaha dan berkerja keras bagi mencapai kemenangan dalam perjuangan.

Beliau berkata, bekas ahli UMNO wajar memilih PUTRA kerana semangat asal penubuhan parti ini adalah untuk menjadi wadah parti pilihan kepada orang Melayu sebagai kesinambungan perjuangan nasionalisma Melayu-Islam.

Perlembagaan PUTRA juga adalah hampir 100 peratus serupa dengan Perlembagaan UMNO, begitu juga matlamat PUTRA juga sama dengan UMNO.

“Mengambil kira punca kegagalan UMNO, akibat budaya rasuah dan salah guna kuasa yang melampau dan mengerikan, maka dengan tegas PUTRA meletakkan penghayatan nilai-nilai kepemimpinan bersih dan berakhlak.

“Ini bagi menjamin perjuangan tidak akan berulang lagi seperti ungkapan “menang sorak kampung tergadai” – beserta dengan keinsafan dan penghayatan mesej lirik lagu patriotik Anak kecil main api,” katanya.

Ibrahim berkata adalah lebih mudah membina kekuatan dan belayar dengan bahtera baharu daripada kapal yang sudah rosak teruk.

Walaupun PUTRA masih kerdil dan kalah teruk dalam percubaan pertama di medan PRU15 disebabkan belum dikenali umum, ketiadaan kewangan dan pelbagai kelemahan; namun ianya parti yang amat segar dari segi semangat, nama dan simbolnya.

Beliau percaya PUTRA juga boleh menjadi parti yang kuat sedangkan UMNO makin lesu dan terpalit dengan pelbagai isu yang tidak mudah untuk dipulihkan dan sukar untuk mendapat kembali keyakinan rakyat.

Bagi yang beranggapan PUTRA sukar mendapat sokongan atau undi bukan Melayu; beliau bertanya adakah mutakhir ini UMNO/BN, Pas dan Bersatu mendapat undi bukan Melayu terutama dari kaum Cina dan India?

“Jawabnya tidak juga, walaupun mereka sedaya upaya cuba memenuhi pelbagai kemahuan kaum bukan Melayu, malah bercakap berlapik lidah apabila menyentuh kaum ini, undi tetap tidak diperoleh malahan ditolak bukat-bulat,” katanya,

Related posts

Leave a Comment