Sembrong tuntut penjelasan MKT UMNO

SEMBRONG 29 Jan. – UMNO Bahagian Sembrong meminta penjelasan mengenai sebab penggantungan keahlian ke atas Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta menuntut semakan hukuman dan proses sewajarnya dilakukan.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd Ghani Abd Rashid, berkata hukuman yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) amat berat tanpa proses sewajarnya termasuk tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin.

Justeru , kepemimpinan UMNO Sembrong berharap semakan dapat dilakukan terhadap hukuman ke atas Ketua UMNO bahagian itu.

“Mulakan dengan tatacara yang betul, panggil (bela diri), ini proses kena ikut supaya apa yang diluahkan orang yang dituduh dapat didengari dan dikaji lain-lain pandangan supaya boleh ambil tindakan lebih tepat.

“Semua orang tahu enam tahun hukuman (diputuskan) adalah betul-betul kepada orang yang menjadi pengkhianat parti (dan ia) bukan main-main punya hukuman,” katanya selepas mesyuarat UMNO bahagian itu hari ini.

Abd Ghani mengakui kepemimpinan UMNO bahagian terkejut dan kecewa dengan tindakan penggantungan itu.

“Ia juga seolah-olah langsung tidak mengambil kira jasa, pengorbanan dan kesetiaan beliau (Hishammuddin) kepada parti UMNO selama ini. Atas dasar itu Sembrong menuntut penjelasan dan sebab di atas penggantungan itu,” katanya.

Abd Ghani berkata, selama hampir 20 tahun membina UMNO Sembrong, tidak pernah ada satu patah perkataan pun digambarkan Hishammuddin untuk mengkhianati parti atau menggerakkan langkah untuk membelakangkan parti.

“Hukuman ini menggambarkan beliau (Hishammuddin) individu yang betul-betul hendak mengkhianati dan merosakkan parti, sedangkan kita lihat tidak ada pun langkah-langkah sebegitu yang dibuat,” katanya.

Sementara itu, Abd Ghani berkata, kepemimpinan UMNO Sembrong sedia ada yang mempunyai 66 cawangan dan lebih 14,000 ahli, akan terus mematuhi nasihat Hishammuddin supaya seluruh ahli UMNO bahagian kekal setia dengan parti dan berpegang kepada prinsip bahawa kepentingan parti mengatasi kepentingan individu.

Kepemimpinan UMNO Sembrong juga akan terus bersemuka dengan seluruh ahlinya untuk memberikan pemahaman berhubung isu penggantungan itu bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli khususnya di akar umbi.

Katanya , gerak kerja parti juga akan diteruskan seperti biasa termasuklah melaksanakan sepenuhnya urusan pemilihan parti selaras arahan dikeluarkan kepemimpinan Pusat.

“UMNO Sembrong percaya, setiap cabaran dan ujian terkandung hikmah. Seperti dinyatakan Hishammuddin semalam, keadaan ini bukanlah pengakhiran tetapi petanda kepada permulaan yang baharu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment