Kalau dah jadi ‘fighter’ takkan ‘gostan’ – Shahril

KUALA LUMPUR 28 Jan. –  Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan tidak akan membuat rayuan terhadap penggantungan keahlian parti selama enam tahun berikutan proses tindakan yang diambil parti itu terhadapnya tidak mengikut prosedur.

Menurut bekas Ketua Penerangan UMNO itu, adalah sukar untuk beliau membuat ‘pusingan U’ atau merayu terhadap hukuman yang dikenakan terhadapnya.

“Apabila orang cakap buat rayuan, saya ingat rayu pun nak buat rayuan macam mana, sedangkan prosedur asal pun tak betul, takkan rayuan pula tiba-tiba jadi okay.

“Mungkinlah mereka mengharapkan kita ‘u turn’, kita berdiam diri, kita ikut. Sorry (maaf), saya tak boleh buat perkara itu kerana semua ini tidak mengubah hakikat bahawa ini susah untuk saya telan.

“Insya-Allah Shahril Hamdan kalau dah jadi ‘fighter’ (pejuang) kita takkan ‘gostan’ (pusingan U),” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Shahril yang juga calon BN Alor Gajah pada PRU lalu berkata, buat masa ini beliau masih belum membuat sebarang keputusan berhubung langkah yang akan dilakukannya selepas penggantungan itu.

Katanya, hukuman itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa dan tanah air yang lebih murni.

Menyentuh alasan pemecatannya, beliau berkata ada terbaca mesej yang tular mungkin kononnya tindakannya meletak jawatan Ketua Penerangan, kemudian meminta Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab selepas kekalahan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“(Atau) kerana saya buat video cadangan untuk perubahan dalam UMNO, termasuk untuk buat R&D Department (Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan). Saya tak pastilah kalau orang boleh terima sama ada ini adalah sebab munasabah.

“Mungkin kalau mereka nampak orang tak boleh terima, dia boleh cipta pula alasan yang baharu, tidak mengapa. Saya ingat kita boleh agak sebab dan motif utama yang mereka ada untuk buat perkara ini,” katanya.

Alasan itu juga terkandung dalam fakta yang tular di media sosial mengenai alasan penggantungan selama enam tahun itu.

Shahril berkata, bukan mudah untuk beliau menerima keputusan yang dibuat UMNO, namun itu adalah kehidupan politik.

“Saya masih ada rasa sayang yang teramat sangat terhadap ahli UMNO, rakan yang saya bina persahabatan dan saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang menghantar mesej beri semangat dan sebagainya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment