PH kekal mendahului penguasaan kerusi

PUTRAJAYA 22 Nov. – Pakatan Harapan (PH), kekal mendahului penguasaan kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas 221 kawasan pilihan raya selesai mengadakan pengundian, dengan yang terakhir P220 Baram semalam.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggantung pengundian di 11 pusat mengundi Baram berikutan cuaca tidak baik menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.

Manakala satu lagi kawasan iaitu Padang Serai akan mengadakan pengundian pada 7 Disember selepas ditangguhkan berikutan kematian seorang calon M. Karupaiya (PH) menjelang hari mengundi.

Setakat malam tadi selepas 221 kerusi dipertandingkan, kedudukan kerusi parti atau gabungan (mengikut logo bertanding) adalah  PH yang mendahului dengan 76 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) 51 dan Barisan Nasional (BN) 30.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23, Pas 22, Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6, DAP 5, Warisan 3, Bebas 2, Ikatan Demokratik Malaysia ( Muda) 1, Parti Bangsa Malaysia (PBM) 1 dan Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM) 1.

Bagaimanapun secara keseluruhan, PH memenangi 82 kerusi selepas mengambil kira kerusi DAP dan Muda yang bertanding mengguna logo sendiri diikuti PN 73 termasuk 22 calon Pas menggunakan logo sendiri.

Related posts

Leave a Comment