Noh kecewa didakwa kena 16 pertuduhan

KUALA LUMPUR 28 Jan. –  Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang,  Noh Omar kecewa dengan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin mengatakan beliau dikenakan 16 pertuduhan.

Menurut Noh kenyataan Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri (Dr Ahmad Zahid Hamidi) itu tidak tepat kerana beliau hanya disabitkan dengan tiga tuduhan.

Megat Zulkarnain dalam kenyataan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi mendakwa Noh dikenakan 16 pertuduhan kerana mensabotaj parti pada PRU15.

Katanya, keputusan menggantung keahlian Noh bukannya disebabkan beliau tidak bersetuju dengan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti yang dibawa dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Manakala tindakan sabotaj itu membabitkan soal calon yang ditampilkan untuk mewakili parti di kerusi Parlimen Tanjong Karang ketika PRU15.

Menjelaskan lebih lanjut, Noh berasakan dirinya seperti dianiaya kerana pertuduhan sudah pun dikenakan terhadapnya tanpa memberi ruang untuk membela diri, walaupun menegaskan sudah menerima surat untuk berbuat demikian Isnin depan.

“Saya nak bagi tahu, saya hanya mendapat surat ini mengenai butir-butir aduan, tuduhan pertama, kedua, ketiga. Hanya tiga pertuduhan.

“Saya sepatutnya menghadiri bicara dengan Lembaga Disiplin UMNO pada Isnin ini. Ada tiga hari lagi, bagaimana Datuk Seri Megat boleh kata 16 pertuduhan kepada saya sudah pun terbukti?,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di media sosialnya malam ini.

Mengulas satu daripada tiga pertuduhan dikenakan, Noh berkata ia mengaitkan beliau dengan bekas pegawai khasnya yang menjadi calon bebas pada PRU lalu.

Beliau yang mempertikaikan tuduhan sedemikian dengan mendakwa Ahmad Zahid juga boleh dijatuhi hukuman kerana Muslimin Yahya pernah menjadi pegawai khas kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bertanding menjadi calon Bersatu pada PRU14.

“Yang Berhormat (YB) Muslimin menang pada masa itu, jadi persoalannya kalau nak dikaitkan dengan pegawai khas saya sehingga menyebabkan saya nak dibabitkan, mengapa tidak juga dibabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid yang pada masa itu YB Muslimin adalah pegawai khas beliau?,” katanya.

Sementara itu fakta pemecatan Noh antara lain menyatakan enam laporan dibuat terhadap Noh kerana sabotaj calon BN Parlimen Tanjung Karang malah seorang calon Bebas adalah pegawai khas bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu.

Related posts

Leave a Comment