Ismail Sabri tidak setuju pecat, gantung

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Naib Presiden UMNO Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa beliau tidak setuju dengan keputusan pemecatan dan penggantungan yang dibuat parti semalam kerana tidak mematuhi proses perundangan.

Beliau berkata, wujud kecacatan dalam proses pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin UMNO semalam.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menjelaskan beliau dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin parti juga tidak pernah menasihatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengambil sebarang tindakan sedemikian.

Sebaliknya hanya pemakluman mengenai terdapat laporan dibuat terhadap pemimpin yang dituduh.

“Sebagai sebuah parti bertamadun, UMNO mesti dilihat telus dalam membuat sebarang tindakan.

“Saya menyatakan tidak setuju dengan keputusan itu atas alasan pemecatan dan penggantungan dibuat dengan tidak mematuhi proses perundangan serta bertentangan dengan prinsip ‘natural justice’ seperti membela diri,” katanya dalam posting di Instagram beliau malam ini.

Ismail Sabri menjelaskan, di sebalik tindakan pecat dan gantung yang diumumkan malam tadi itu, tiada surat tunjuk sebab bagi yang dituduh mengetahui pertuduhan terhadap mereka, selain tidak diberi ruang menjawab pertuduhan melalui surat tunjuk sebab.

“Jika yang menuduh tidak puas hati, maka yang dituduh perlu dirujuk kepada pendengaran dalam jawatankuasa disiplin bagi mempertahankan diri. Beliau boleh membawa saksi, tuduhan perlu dibuktikan.

Jika jawatankuasa disiplin mendapati yang dituduh bersalah atau sebaliknya, maka jawatankuasa disiplin perlu memberi cadangan kepada jawatankuasa pengurusan UMNO.

“Jawatankuasa pengurusan UMNO perlu berbincang dan membawa cadangan ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk keputusan. Proses ini tidak dilaksanakan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment