Tidak perang sendirian

SETIAP negara yang berdepan dengan wabak Covid-19 sedang melawan musuh yang sama dan harus bekerja rapat antara satu sama lain, kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

“Singapura akan menjalankan peranannya, tetapi ia bukan perang yang kami hadapi sendirian. Covid-19 adalah krisis yang memerlukan semua negara untuk memeranginya bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu mesej video bagi mesyuarat alam maya kedua untuk menteri kesihatan di rantau ini yang diadakan oleh pejabat rantau Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Mesyuarat itu bertemakan “Berdiri Bersama dalam Perpaduan untuk Melawan Covid-19”.

Dalam mesej video yang dimuat naik di Facebook itu, Lee berkata beliau telah diundang untuk berkongsi usaha Singapura dalam menentang Covid-19.

“Singapura memandang ke WHO untuk terus memberi kepimpinan dan penyelarasan bagi respons sedunia yang berkesan. Bersama, kita mampu atasinya,” kata Encik Lee.  

Sementara itu, sebanyak 142 jangkitan Covid-19 disahkan di Singapura hari ini (8 April), bilangan kes baharu tertinggi di negara itu setakat ini. Ia melibatkan 140 jangkitan setempat dan dua kes import.  Jumlah keseluruhan kini 1,623 kes.

Kes kematian ketujuh yang berkaitan dengan koronavirus itu juga dilaporkan semalam, melibatkan seorang warga India yang merupakan pemegang pas jangka panjang.

Menurut MOH, kematian ketujuh melibatkan lelaki berusia 32 tahun yang menjalani ujian bagi Covid-19 pada 7 April dan dinasihatkan duduk di rumah sementara menanti keputusan ujian itu.

Beliau meninggal dunia pada 8 April di rumahnya dan disahkan positif Covid-19 selepas kematiannya.

Dalam kalangan 669 pesakit yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya berada dalam keadaan stabil ataupun beransur pulih. Seramai 29 pesakit berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Related posts

Leave a Comment