PM gembira kerjasama erat Malaysia, Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 25 Jan. – Malaysia akan terus memberi komitmen untuk memelihara kerjasama dengan Brunei Darussalam di samping meneroka kerjasama strategik baharu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau gembira melihat persefahaman dan kerjasama erat yang terjalin untuk kesekian lamanya antara kedua-dua negara yang membawa manfaat begitu besar, termasuk semasa dunia dilanda pandemik Covid-19.

Justeru beliau amat mengalu-alukan hasrat dan tawaran daripada Brunei untuk melabur di dalam pelbagai sektor ekonomi berpotensi tinggi di Malaysia, termasuk oleh Brunei Investment Agency (BIA).

Pada masa yang sama, Perdana Menteri, berharap Rundingan Tahunan Pemimpin (ALC) Malaysia-Brunei yang akan berlangsung di Malaysia pada tahun ini akan dapat memuktamadkan beberapa perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Ini termasuk kerjasama dalam bidang kesukanan dan belia, kehakiman syariah serta pendidikan yang sedang giat dibincangkan oleh kedua-dua pihak.

Beliau berkata demikian pada Majlis Santapan Rasmi dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan rasmi beliau ke Brunei di Istana Nurul Iman, di sini hari ini.

Raja Isteri Pengiran Anak Saleha turut berkenan berangkat ke majlis itu yang juga dihadiri isteri Perdana Menteri,  Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar turut menzahirkan rasa gembira kerana lawatan beliau dan delegasi pada kali ini akan membuahkan hasil yang pastinya membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

“Patik yakin lawatan ini akan disusuli oleh usaha-usaha berterusan oleh kedua-dua pihak untuk memperkukuhkan lagi kerjasama erat sedia ada,” katanya yang turut menzahirkan rasa syukur di atas hubungan erat antara kedua-dua negara yang tidak sekadar terbatas di peringkat kerajaan, malahan juga dalam kalangan rakyat.

Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Brunei di atas segala bantuan dan layanan baik yang diberikan kepada kira-kira 25,000 orang rakyat Malaysia yang menetap di negara ini.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Brunei yang membuka sepenuhnya sempadan negara itu mulai 1 Ogos 2022 di mana langkah itu menjadi ramuan penting ke arah usaha pemulihan pasca pandemik Covid-19.

Katanya, dengan pembukaan semula sempadan ini, Malaysia turut menerima kembali pengunjung-pengunjung dari Brunei yang meningkat begitu ketara bermula pada Ogos tahun lalu.

Begitu juga, peningkatan positif bilangan pelajar dari Brunei Darussalam yang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia setelah penurunan ketara ekoran penutupan sempadan kedua-dua negara bermula pada 2020.

Related posts

Leave a Comment