SEPANG 25 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan paling korup dalam sejarah dan hampir semua calon yang menang pula adalah kerana menawarkan rasuah.
Menurut Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu, rasuah diberikan secara terbuka dan ramai yang menerimanya sebelum mereka mengundi kerana terdapat bukti lain mengenainya semasa pilihan raya yang berlaku tanpa halangan.
Beliau mendakwa seorang calon tunggal membelanjakan sebanyak RM25 juta dan setiap parti mungkin membelanjakan RM100 juta ketika PRU15, malahan ada yang berkata lebih tetapi persoalannya dari mana wang itu diperoleh.
Jelas sekali bahawa sejumlah besar wang telah diperuntukkan untuk mempromosikan calon dan parti di mana hasilnya hanya calon yang korup dan parti yang korup memenangi pilihan raya.
Dalam kenyataannya hari ini, Dr. Mahathir yang tewas di Parlimen Langkawi berkata, adalah lumrah di Malaysia apabila bandar, kampung dan luar bandar dipenuhi dengan berjuta-juta bendera, gegantung, poster dan papan tanda.
Kos tersebut katanya tidak murah berdasarkan bendera berharga sekurang-kurangnya RM3 setiap satu, batang buluh dan kerja memasangnya akan menelan belanja RM3 lagi.
“Setiap bendera yang dipasang berharga RM6 dan terdapat puluhan ribu di setiap kawasan pilihan raya. Pasti ada berjuta-juta di seluruh negara. Sejuta akan menelan belanja RM6 juta. 10 juta akan menelan belanja RM60 juta.
Terdapat 222 Parlimen dan beribu-ribu pekerja serta ‘sukarelawan’ parti yang dibayar,” katanya..
Katanya, dalam pilihan raya, sekiranya calon atau parti terlibat dengan perbelanjaan mewah, penyiasatan tentang sumber dana harus dijalankan.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat parti-parti dilihat mempunyai dana besar yang dibelanjakan untuk merasuah pengundi dan perbelanjaan besar untuk kempen dalam PRU15.
Sumber dana mesti dijelaskan. Kegagalan berbuat demikian akan memerlukan penyiasatan terperinci. Jika didapati wang itu datang dari sumber haram, calon atau parti perlu didakwa,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, adalah penting untuk menetapkan had kepada jumlah yang dibelanjakan dan setiap calon perlu mengemukakan penyata kewangan dibelanjakannya semasa pilihan raya.
“Terdapat keperluan untuk mengehadkan jumlahnya. Apa berlaku sekarang ialah rasuah dan wang yang dibelanjakan untuk berkempen tidak terhad,”katanya.
Untuk rekod Akta Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan setiap calon boleh membelanjakan tidak lebih RM200,000 tetapi berdasarkan kempen, jumlah dibelanja melebihi angka tersebut.
Dr. Mahathir juga mendakwa, di negara ini merasuah pengundi sudah menjadi kebiasaan.
“Pengundi mengharapkannya, pegawai parti menganggapnya sebagai tugas mereka dan mereka yang melihat rasuah itu merasakan apa yang berlaku adalah sebahagian daripada proses pemilihan,” katanya.
(Foto FB Dr Mahathir)
