Isu kos sara hidup diberi keutamaan

PUTRAJAYA 25 Nov. – Isu kos sara hidup, khususnya berkaitan harga barangan yang semakin menekan kehidupan rakyat Malaysia ketika ini, menjadi keutamaan pentadbiran bawah kepemimpinan Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri menekankan, walaupun kekuatan ringgit serta Bursa Saham menunjukkan perkembangan positif berikutan pembentukan kerajaan baharu kini, pihaknya tetap mahu memfokus kepada aspek kos sara hidup dan mencari jalan penyelesaiannya.

Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkaitan untuk membincangkan perkara berkenaan, selewat-lewatnya Isnin depan.

Keutamaan saya sekarang ialah kos sara hidup walaupun ada yang positif, umpamanya kekuatan ringgit dan soal Bursa Saham yang lebih positif, sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap pentadbiran sekarang.

Namun, saya masih berasa keutamaan harus diberikan terhadap kos sara hidup dan harga barangan yang mencengkam serta menekan kehidupan rakyat.

“Saya akan mengadakan pertemuan segera dengan jabatan dan agensi berkenaan dalam masa terdekat. Jika tidak keberatan, mohon adakan pertemuan pada hujung minggu atau Isnin ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Anwar memaklumkan melalui perbincangan itu kelak, pihaknya berharap suatu tindakan segera akan dapat dimuktamadkan bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, pihaknya percaya pegawai jabatan dan agensi berkaitan komited untuk sama-sama mencari jalan meringankan beban dihadapi rakyat, terutama pada peringkat bawah.

Related posts

Leave a Comment