PH Selangor tidak pandang rendah PN

SHAH ALAM 19 Jun –  Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak akan memandang rendah usaha dan impian Perikatan Nasional (PN) yang mahu merampas negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi, kata Pengerusinya , Amirudin Shari

Katanya, ia susulan PN meletakkan tanggungjawab kepada Pengerusi PN Selangor, Mohamed Azmin Ali, untuk memberikan negeri itu sebagai ‘hadiah’ kepada gabungan parti berkenaan.

“Itu strategi mereka tetapi ketika pilihan raya umum lalu kita berdepan Azmin namun dengan kekukuhan kita, majoriti kerusi Parlimen iaitu 16 dimenangi PH di Selangor.

“Jadi saya percaya kubu PH kukuh di Selangor namun kita tidak pandang rendah usaha dan ikhtiar mereka dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media khas lima tahun pentadbiran kerajaan negeri Selangor, di sini.

Menteri Besar Selangor itu berkata, dari segi fizikal sehinggalah di media sosial, PH akan meningkatkan usaha penerangan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang mahu Mohamed Azmin ‘memberikan’ Selangor kepada gabungan parti terbabit, walaupun bekas Menteri Besar Selangor itu belum diumumkan untuk bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa sama, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR turut menzahirkan keyakinan bahawa PH akan mengekalkan kedudukan majoriti dua pertiga di Selangor pada PRN ini.

Ditanya sama ada keyakinan itu atas sebab kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, beliau bagaimanapun berkata, ia disebabkan prestasi pentadbiran dalam tempoh lima tahun ini.

“Dengan strategi yang betul, tidak mustahil kita boleh mencapai kemenangan lebih berbanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 pada 2018 lalu,” katanya.

Pada PRU lalu, PH meraih 41 kerusi daripada keseluruhan 56 DUN manakala baki tujuh kerusi oleh PN, BN (lima kerusi) dan Pejuang (tiga).

Related posts

Leave a Comment