Hutang negara hampir RM1.2 trilion

PUTRAJAYA 17 Jan. – Hutang negara termasuk liabiliti kini sudah mencecah hampir RM1.2 trilion, melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, situasi ini turut memberi kesan apabila Bajet Defisit akan lebih melebar daripada jangkaan awal iaitu 5.8 peratus daripada KDNK untuk tahun 2022.

“Masalah hutang negara kini sudah mencecah RM1.2 trilion dan jika ia termasuk liabiliti, ia menjadi RM1.5 trilion,” katanya dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Kementerian Kewangan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, ketika ini kemerosotan ekonomi masih belum reda manakala keadaannya masih malap yang turut terkesan dengan perkembangan antarabangsa global, perang Ukraine-Russia serta pascaCovid-19.

“Kalau ikut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri pun, ia (ekonomi) terus menurun.

Cabaran kita. Masalah-masalahnya ialah, hutang negara sudah mencecah hampir RM1.2 trillion. Ini kenyataan, kerana ada pertikai, kenyataan berubah-ubah. Kalau termasuk liabiliti, ia sudah RM1.5 trillion,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, semua pihak termasuk kepimpinan dan wakil kementerian harus menerima kenyataan itu, bahawa ia bukan lagi urusan biasa selain mereka tidak seharusnya terus selesa.

Katanya kerajaan tidak akan mengambil pendekatan ‘business as usual’ dan akan mengambil pendekatan yang berbeza untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.

“Sebab itu, kita beri angka yang sebenar. (Bayaran) Khidmat Hutang 2023 adalah sebanyak RM45 bilion, iaitu 15 peratus daripada hasil negara dan ini juga maksimum yang mampu ditangani oleh negara.

“Kita tidak fikir kita boleh mendepani tahun 2023 dengan keadaan yang selesa. Sebab itu, kalau ada budaya selesa, ia tidak akan dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang diharapkan,” tambah Anwar.

Related posts

Leave a Comment