Tabur wang’ dorong UMNO fail petisyen

KUALA LUMPUR 16 Jan. –  Dakwaan berlaku rasuah mendorong UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Ahmad Said, berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu.

Beliau mendakwa, Pas menabur wang antara 15 hingga 17 November lalu iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15, dengan kebanyakan isi rumah menerima wang antara RM500 hingga RM1,000.

Antara rasuah yang didakwa diagihkan semasa tempoh berkempen itu termasuklah wang kepada pengundi luar serta beberapa peruntukan kerajaan Terengganu pimpinan Pas kepada belia, mahasiswa dan warga emas.

Hampir 20 saksi dari tiga Parlimen berkenaan, kebanyakannya dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 21 tahun, bersetuju membuat pengakuan di mahkamah bahawa mereka menerima rasuah itu.

Menurut bekas Menteri Besar itu berkata, sepanjang sembilan kali beliau menyertai pilihan raya, tidak pernah beliau melihat begitu banyak wang diagihkan kepada pengundi pada pilihan raya ini.

“Kerajaan Terengganu mula agihkan dana bantuan kerajaan seperti i-Belia, i-Siswa dan i-Pencen diberi semasa kempen PRU15, terutama pada 15, 16 dan 17 November tahun lalu.

“Contohnya di Kemaman, bantuan i-Siswa ini diberi pada malam 17 November. i-Pencen pula diberi kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas sebanyak RM600 semasa kempen PRU15.

“Parti pula beri duit kepada pengundi luar dan remaja antara RM200 hingga RM300, termasuk kepada pengundi UMNO yang ada dalam senarai putih kita. Jadi setiap rumah dapat antara RM500 hingga RM1,000,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn hari ini.

Pada PRU15, Ahmad yang mewakili Barisan Nasional (BN) serta tiga calon lain yang bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tewas kepada calon Pas, Che Alias Hamid yang menang majoriti 27,179 undi.

Parlimen Marang pula dimenangi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 41,729 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Parlimen Kuala Terengganu pula kekal disandang Pas apabila calonnya, Datuk Amzad Hashim memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga pencabar lain.

Ahmad mendakwa rasuah sepanjang kempen PRU15 itu berlaku di seluruh Terengganu, namun kebanyakan saksi di Parlimen lain enggan tampil di mahkamah, menyebabkan UMNO hanya dapat memfailkan petisyen di tiga Parlimen sahaja.

Menurut Ahmad, bukti petisyen ini termasuklah dalam kes video tular yang menunjukkan pengundi perlu bersumpah ‘Wallahi saya undi Pas’ sebelum diberi wang yang didakwa berlaku di Marang.

“Saya pergi sendiri ke rumah orang yang bagi duit itu di Kampung Tok Hakim, tapi dia dah tak ada. Saya difahamkan dia dah lari entah ke mana,” katanya,

Related posts

Leave a Comment