Doa bersihkan semula Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 18 Ogos  Sultan Hassanal Bolkiah bertitah peningkatan kes Covid-19 sejak 7 Ogos lalu menambah kebimbangan tetapi sebagai umat yang berakidah, Brunei Darussalam menaruh harapan agar Allah memperkenankan doa untuk membersihkan semula bumi negara itu  daripada wabak koronavirus.

Dalam Titah Perutusan Khas bagi Tahun 1443 Hijrah / 2021 Masihi yang disiarkan di seluruh negara malam tadi, baginda bertitah selama lebih setahun, Brunei Darussalam telah dapat menikmati keadaan selamat (sunyi) daripada jangkitan tetapi kini dikejutkan dengan kes yang semakin meningkat.

“Selaku umat yang berakidah kita memahami bahawa tiada turun sesuatu bala melainkan hanya kerana dosa jua dan tiada berundur bala itu kecuali dengan taubat atau istighfar sahaja,” titah baginda yang turut menegaskan bahawa tidak akan berlaku sesuatu itu, jika bukan dengan izin dan kehendak Allah.

Titah baginda, sejak lama lagi telah diisyaratkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya dalam Surah Hud, ayat 52 : “Wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepada-Nya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan yang lebat (yakni rahmat) dan akan menambahkan lagi kekuatan kamu, di samping kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi suruhan-Ku dengan terus melakukan dosa”.

Baginda menjelaskan inilah antara ayat istighfar yang menggalakkan kita supaya bertaubat dan apabila taubat itu berlaku, maka Allah berjanji akan menurunkan rahmat-Nya, termasuk in shaa Allah, dengan menarik balik bala bencana dan penyakit, bahkan akan menambahkan lagi kekuatan yang sedia ada.

Kekuatan itu menurut baginda boleh sahaja disebut sebagai kesihatan, kemakmuran dan keselamatan.

Menurut baginda, selaku hamba Allah, janganlah malu mengaku berdosa dan berat untuk bertaubat.

“Kalau membasuh tangan dengan air atau ‘sanitizer’, tetapi membasuh dosa adalah dengan istighfar dan taubat,” titah baginda.

Sebelum mengakhiri titah, baginda turut mengajak rakyat untuk sama-sama bermunajat mengikhlaskan diri dan merafakkan tangan ke langit berdoa.

Doa bagibda : “Ya Allah, Ya Tuhan kami, kiranya kami ini sudah terlanjur mengkufuri nikmat-Mu dengan kelakuan-kelakuan kami yang Engkau tidak redai, maka Engkau ampunkanlah kami, dan kasihanilah kami dengan menarik balik wabak koronavirus daripada negara kami. Ya Allah mohon supaya Engkau bersihkan negara kami ini daripada wabak sebersih-bersihnya.,”

Related posts

Leave a Comment