Lima kerusi PKR Kedah perlu dipertahan

SUNGAI PETANI 15 Jan – PKR perlu mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tradisinya, sebelum meletakkan sasaran menang lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah akan datang.

Menurut Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli, sejak 2008, lima kerusi berkenaan adalah Bakar Arang, Sidam, Bukit Selambau, Lunas dan Kulim.

“Saya tak kata tak ada risiko (kalah), semua ada risiko sebab di Kedah berlaku hayunan undi Melayu sehingga 70 hingga 80 peratus, jadi jika itu berlaku (pada PRN) semua kerusi termasuk kerusi tradisi PKR dalam keadaan risiko.

“Secara realisitik kita perlu tahu kekuatan bahawa kita ada lima kerusi tak pernah kalah, ini boleh jadi sasaran yang baik untuk dapat kerusi lain,” katanya selepas menghadiri Konvensyen PRN Kedah dan Pulau Pinang di sini, malam tadi.

Mengenai keyakinan Perikatan Nasional (PN) mampu menang 33 daripada 36 kerusi DUN, beliau menegaskan itu bukan suatu tekanan kepada PKR.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi berkata, kemenangan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu adalah berasaskan sentimen perkauman Melayu yang memuncak.

“Keputusan (PN menang) PRU-15 lalu bukan sebab Sanusi popular, Pas kuat atau rakyat akui apa mereka buat, tetapi keputusan itu kerana memuncaknya 15 tahun sentimen perkauman yang dimainkan dalam masyarakat Melayu.

“Oleh kerana rekod UMNO dilihat tak baik dan pendedahan demi pendedahan dibuat, jadi naratif perkauman jadi pengaruh paling besar mengakibatkan kebanyakan pengundi Melayu membuat pilihan undi semula jadi kepada Pas.

“Ia sama seperti ketika Pakatan Rakyat menang lima negeri pada 2008, bukan sebab PKR atau DAP hebat, tetapi pada masa itu berlaku hayunan undi pengundi bandar yang tolak rasuah, yang mahu tata kelola kerajaan yang baik,” katanya.

Ketika ini di DUN Kedah, Pas menguasai 15 kerusi, Bersatu (6), PKR (5), Parti Amanah Negara (4), manakala UMNO, DAP dan Parti Pejuang Tanah Air masing-masing memiliki dua kerusi.

Related posts

Leave a Comment