Covid-19: 60,000 maut sejak sekatan longgar

BEIJING: China mendakwa hampir 60,000 orang dijangkiti Covid-19 telah meninggal dunia di hospital sejak negara itu melonggarkan sekatan dasar sifar Covid awal Disember lalu.

Dalam tempoh antara 8 Disember hingga 12 Januari, jumlah kematian berkaitan Covid-19 di hospital seluruh China berjumlah 59,938 kes dengan purata jumlah umur 80.3 tahun dan 90.1 peratus berumur 65 tahun ke atas.

Ketua Biro Pentadbiran Perubatan di bawah Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC), Jiao Yahui berkata, 5,503 daripada kematian itu berpunca daripada kegagalan pernafasan akibat Covid-19, manakala 54,435 disebabkan gabungan Covid-19 dan penyakit lain.

Kali terakhir China melaporkan angka harian kematian berkaitan Covid-19 adalah pada Isnin lalu.

Pihak berkuasa telah melaporkan lima atau kurang kematian sehari sepanjang bulan lalu, angka yang tidak konsisten dengan barisan panjang yang dilihat di rumah pengebumian dan beg mayat dilihat meninggalkan hospital yang sesak.

Walaupun pakar kesihatan antarabangsa meramalkan sekurang-kurangnya 1 juta kematian berkaitan Covid-19 tahun ini, namun China sebelum ini melaporkan hanya lebih 5,000. kematian sejak wabak itu bermula.

Related posts

Leave a Comment