‘Jual beli, tawar menawar’ dalam isu pemilihan

JIKA sudah ada yang sedia ‘menjual’ dan ada pula yang sedia membeli, maka langsungkan saja ‘jual beli’ itu. Jika masing-masing sudah tahu untung rugi, buat apa lagi mahu tawar menawar?

Soal sama ada untung atau rugi perkara kedua yang bergantung kepada yang menjual dan membeli. Masing-masing ada kebijaksanaan.

Begitu jugalah ‘pertikaian’ berkaitan pertandingan bagi pemilihan kepemimpinan UMNO yang perlu diadakan menjelang pertengahan tahun ini. Fokus jawatan yang menjadi tumpuan adalah Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

Ada yang mahu gelanggang pemilihan dibuka untuk semua jawatan dan ada pula yang mahu mengecualikan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sedia mencabar penyandang jawatan No. 1 atau No.2 dan begitu juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaludin.

Penyandang pula, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan juga bersedia berdepan pemilihan lebih-lebih lagi mereka kini ada kekuatan dalam Kabinet. Mereka ada kelebihan untuk mempertahankan jawatan.

Pelbagai alasan diberi untuk mewajarkan pertandingan dielakkan untuk jawatan Presiden dan Timbalan apresiden. Ada yang bimbang berlaku perpecahan dan mengganggu tumpuan kepada enam pilihan raya negeri pertengahan tahun ini.

Pemilihan perlu dilihat untuk menguatkan parti, menyuburkan demokrasi bukan mahu mencipta ‘kelompongan atau kelemahan’ dalam organisasi.

Ketika UMNO menyatakan pemilihan boleh menjejaskan persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU), parti politik lain, selamat mengadakan pemilihan seperti biasa dan keputusan pilihan raya mereka juga tidaklah begitu teruk.

Sebaliknya, UMNO yang sering dihantui pertandingan menyebabkan perpecahan dimalukan pada PRU lalu sehingga tujuh negeri menyaksikan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO ‘kalah bersih’ di tujuh negeri.

Dua negeri umpama bernafas dalam lumpur sementara pembangkang tidak mampu menyapu bersih kerusi di Negeri Sembilan, Sabah, Johor dan Pahang. Maknanya BN atau UMNO masih menang beberapa kerusi.

Jika alasan songsang diguna pakai dalam menganalisis punca kekalahan teruk itu, adakah ia boleh dikaitkan pula dengan tiada pemilihan dalam barisan kepemimpinan parti? Maknanya tanpa pemilihan UMNO kalah teruk.

Jika demokrasi dalam parti tidak dapat dilaksanakan maka demokrasi kertas undi di manfaatkan. Berapa juta undi yang diperoleh UMNO atau BN. Adakah 3.4 juta anggota UMNO benar-benar memberi undi kepada calon UMNO atau BN?

Justeru tidak usahlah memberi alasan untuk mengukuhkan parti, pemilihan perlu ditangguhkan. PRU16 masih jauh. PRN pula, semua negeri itu merekodkan prestasi buruk kepada BN/UMNO pada PRU lalu.

Malahan PRN yang diadakan serentak PRU di Pahang, Perlis dan Perak, negeri yang dikuasai BN menyaksikan Perlis terlepas kepada Perikatan Nasional (PN), Perak tercorot kepada PN dan PH manakala Pahang sama kuat dengan PN.

Adakah BN atau UMNO dapat meramalkan kedudukan di enam negeri berkenaan jika pemilihan parti diadakan?

Mungkin pada PRN ini, BN atau UMNO boleh mendapat sedikit sokongan PH untuk menang sedikit sebanyak kerusi di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sekali,lagi adakah pemilihan parti dapat membantu atau sebaliknya?

Related posts

Leave a Comment