Jangan matikan demokrasi UMNO – KJ

KUALA LUMPUR 12 Jan. –  Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajar dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur, kata bekas  Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Malahan katanya, jawatan tertinggi itu perlu dipertandingkan memandangkan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar.

“Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden seorang fighter yang tidak gentar menghadapi pencabar.

Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” jelasnya dalam muat naik di Instagram Story hari ini.

Khairy memuat naik kenyataan itu bersama gambar grafik berkaitan 126 Ketua UMNO Bahagian menyokong jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Beliau turut menimbulkan beberapa persoalan berkenaan hak perwakilan untuk memilih ketua mereka.

“Apakah UMNO ini milik Ketua-Ketua Bahagian ini sahaja? Apakah para perwakilan dan akar umbi tidak punya hak memilih ketua mereka?” soalnya.

Semalam, media melaporkan seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang.

Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

Related posts

Leave a Comment