Singapura dapat semula 900 kuota haji

SINGAPURA: Kerajaan Arab Saudi memperuntukkan kuota rasmi 900 jemaah haji untuk Singapura pada musim haji 2023, kata  Menteri bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Dalam hantaran di Facebooknya, menteri itu berkata beliau dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al Rabiah telah menandatangani Perjanjian Haji bagi Singapura sebagai persediaan menghadapi musim haji 2023 pada Jun.

Masagos Zulkifli kini berada di Arab Saudi atas undangan Dr Tawfiq untuk menghadiri Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah di Jeddah.

“Walaupun kami ingin mendapatkan lebih banyak tempat untuk haji, kami mohon anda faham bahawa pandemik Covid-19 masih belum berakhir dan pihak berkuasa Haji dan Umrah di Arab Saudi mengutamakan kesihatan, keselamatan serta kemaslahatan para jemaah,” kata beliau.

Bagaimanapun dalam mesyuarat dua hala, Dr Tawfiq meyakinkan bahawa beliau dan pasukannya memahami aspirasi mendalam bakal jemaah haji dan akan menyemak permintaan Singapura untuk mendapat lebih banyak kuota haji.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau dan kami berdua bersetuju untuk terus bekerja rapat bagi membantu lebih ramai jemaah haji Singapura menunaikan haji pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan bekerja rapat dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta Ejen Penjualan Pakej Haji dan Umrah (GSA) Singapura untuk pakej musim Haji 2023.

Sementara itu MUIS dalam kenyataannya berkata, kuota itu akan diperuntukkan kepada pendaftar sedia ada dalam sistem Pendaftaran Haji Awal Muis (AHRS) yang memenuhi syarat dan keperluan haji.

MUIS akan mengeluarkan Surat Niat kepada jemaah haji terpilih, yang diminta  menjawab pada tarikh yang dinyatakan.

Berikutan peruntukan semula kuota rasmi tahun ini, MUIS kini menyambung semula pendaftaran yang kini berjumlah 35,000 pemohon yang berdaftar dalam AHRS.

Pemohon baharu boleh dibuat melalui portal MyHajSG menggunakan SingPass mereka mulai pukul 21 Februari 2023.

Related posts

Leave a Comment