Kuota haji Malaysia kembali kepada 31,600

SEPANG 10 Jan. – Malaysia menerima kuota penuh bagi musim haji tahun ini iaitu sebanyak 31,600 orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia kepada Mohd Na’im sewaktu mesyuarat khas semalam bagi membincangkan aspek persiapan Musim Haji Tahun 1444H/2023M sempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Arab Saudi.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini,” kata Mohd Na’im dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Mohd Na’im berkata, dalam mesyuarat tersebut, Dr Tawfiq Fawzan memuji Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang patut dicontohi.

“Saya telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang kelima.

Sehubungan itu, beliau memohon semua umat Islam supaya bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar.

Kuota haji Malaysia dan negara-negara lain dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) adalah pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Bagaimanapun, kuota jemaah pada tahun lepas dikurangkan berikutan pandemik Covid-19.

Related posts

Leave a Comment