Tun M bimbing negeri gabungan SG4

ALOR SETAR 21 Sept. – Dr Mahathir Mohamad memberikan komitmen yang amat tinggi untuk terus membimbing Kedah serta tiga negeri lain di bawah gabungan ‘SG4’ melalui pengalaman beliau membangunkan Malaysia pada suatu masa dahulu.

Bekas Perdana Menteri itu pada masa yang sama bertekad untuk melihat negeri Kedah, Terengganu, Kelantan dan Perlis membangun maju setanding dengan negeri-negeri maju lain di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Ini untuk membuktikan bahawa negeri-negeri gabungan ‘SG4’ yang diurus-tadbir oleh kepemimpinan Melayu turut boleh maju secara cemerlang.

Komitmen dan tekad Dr Mahathir itu dinyatakan semasa pertemuan beliau dengan Menteri Besar Kedah,  Muhammad Sanusi Md Nor serta Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri di Seri Mentaloon petang semalam.

Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Khairuddin Abu Hassan dalam satu kenyataan berkata, pada pertemuan itu Dr Mahathir memberi taklimat tertutup selama kira-kira dua jam kemengenai perancangan pembangunan ekonomi  di bawah gabungan ‘SG4’.

Dalam masa yang sama Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kepemimpinan negeri Kedah dan negeri-negeri gabungan ‘SG4’ untuk melaksanakan transformasi kepemimpinan khususnya melawan rasuah dalam agenda bagi memperkasakan ekonomi secara lebih mantap.

“Pelbagai perancangan pelaburan turut dibincangkan di peringkat awal ini bagi membangunkan ekonomi negeri Kedah merangkumi sektor perindustrian, pelacongan, pertanian, infra-struktur, pendidikan serta bidang-bidang lain.

“Pada hakikatnya, negeri Kedah dan negeri-negeri gabungan ‘SG4’ mempunyai potensi yang amat tinggi kerana kaya dengan hasil-mahsul buminya cuma memerlukan tata kelola dinamis bagi mencapai matlamat tersebut,” katanya.

Related posts

Leave a Comment