Bung Moktar di blok pembangkang DUN Sabah

KOTA KINABALU 10 Jan. – Apakah kesudahannya krisis politik di Sabah? Persoalan ini timbul apabila berlaku perubahan tempat duduk sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semasa Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Kedudukan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap ADUN Lamag, Bung Moktar Radin berubah ke blok pembangkang. Beliau sebelum ini adalah Timbalan Ketua Menteri yang berada di sebelah Ketua Menteri Hajiji Noor.

Turut berubah kedudukan adalah dua lagi tempat duduk ADUN BN yang sebelum ini menyandang jawatan menteri dalam Kabinet negeri iaitu ADUN Karambunai, Yakub Khan dan ADUN Sukau, Jafry Ariffin.

Perubahan itu berlaku berikutan pengumuman Bung Moktar sebagai Pengerusi BN Sabah menarik balik sokongan terhadap kepemimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Bagaimanapun semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan mencadangkan Kerajaan Perpaduan tetapi menegaskan beliau hanya mampu memberi nasihat dan selebihnya terserah kepada pimpinan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, kedudukan tempat duduk lima ADUN BN Sabah yang menyokong kepemimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah kekal.

Empat dari lima orang ADUN BN Sabah yang dilaporkan menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmy Yahya, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, ADUN Sugut, Datuk James Ratib dan ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih hadir, hari ini.

Persidangan khas DUN hari ini untuk membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan bekalan gas dan Suruhanjaya Tenaga Sabah oleh Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.

Bung Moktar dalam kenyataan memaklumkan sebahagian besar ADUN BN Sabah tidak hadir dalam sidang khas DUN kerana perlu menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Kuala Lumpur.

Begitu juga, dalam kenyataan media berasingan, Presiden Parti Warisan Mohd Shafie Apdal turut memaklumkan 19 ADUN dari pihaknya juga tidak hadir dalam sidang khas, hari ini.

Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin parti terbabit menyokong penuh RUU berkenaan.

Turut tidak hadir adalah tiga ADUN dari Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) iaitu ADUN Melalap, Peter Anthony, ADUN Limbahau, Juil Nuatim dan ADUN Bandau, Wetrom Bahanda.

DUN Sabah mempunyai seramai 79 ADUN, iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam orang ADUN dilantik. Seramai 43 ADUN hadir dalam persidangan khas DUN hari ini.

Related posts

Leave a Comment