PH, BN lakukan ‘pembunuhan karakter’ terhadap PN

KUALA LUMPUR 10 Jan.- Muhyiddin Yassin mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berusaha melakukan pembunuhan karakter terhadap Perikatan Nasional (PN) dan dirinya dengan pelbagai tohmahan jahat.

Pengerusi PN itu mendakwa, tindakan tersebut dibuat antara lain berikutan kegentaran gabungan PH dan BN menghadapi kemaraan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Apa motif PH-BN hampir setiap hari melemparkan tohmahan terhadap PN dan secara berterusan melakukan witch-hunting? Jawapannya mudah.

“PH-BN takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka gelisah melihat PN mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62% orang Melayu dan Bumiputera dalam PRU-15,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya malam ini.

Presiden Bersatu itu berkata, dengan tindakan BN bergabung dengan PH, sokongan kepada gabungan yang terbentuk atas pembohongan kepada pengundi ini akan lebih merosot, seperti mana terbukti dalam PRK Padang Serai dan PRK Tioman.

Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan perundangan boleh diambil terhadap Bersatu, bertujuan melemahkan jentera parti itu sehingga sukar menghadapi PRN akan datang.

Beliau turut berharap perkara terbabit tidak benar dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara telus serta adil.

“Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya.

“Sehubungan itu, Bersatu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan,” katanya.

Muhyiddin mengakui, Bersatu memiliki dana hasil sumbangan pihak yang menyokong perjuangan parti itu.

Beliau menjelaskan, akaun parti itu juga diurus secara telus, dengan setiap penerimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Tahunan mengikut perlembagaan dan Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, sumbangan dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti, walaupun negara masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, selain percaya setiap sumbangan diterima Bersatu tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Mengenai perbelanjaan pilihan raya PN yang dikatakan mewah, bekas Perdana Menteri itu berkata, sebagai langkah penjimatan, Bersatu mencetak bendera dan barangan PN secara pukal, dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika dicetak hampir tarikh pilihan raya.

“Sebab itulah PN membuat keputusan tidak menukar bendera dan logo digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal.

“Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan, selain perlu menanggung kos berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan ‘merchandise’ (barangan) yang baharu. PN tiada dana untuk tujuan itu.

“Jadi, janganlah reka cerita palsu dan menabur fitnah kononnya Bersatu mempunyai dana berbilion ringgit semata-mata untuk mencemarkan imej Bersatu dan PN,” katanya.

Related posts

Leave a Comment