Sultan Selangor hadir Maulidur Rasul

SHAH ALAM 9 Okt. –  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1444H/2022M peringkat negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah @ Masjid Negeri, di sini hari ini.

Baginda diiringi Menteri Besar, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Haris Kasim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad.

Sultan Sharafuddin turut berkenan melancarkan Akademi Literasi Al-Quran Selangor ditubuhkan di JAIS, bertujuan memberi penekanan serius ke arah melahirkan umat Islam berkemahiran membaca dan mengajar, berupaya mengamal dan berkebolehan mempersenikan al-Quran.

Akademi itu bertujuan memberdaya pembacaan al-Quran dengan keutamaan menguasai makhraj, sifat huruf, kesempurnaan dengung, keseragaman bacaan mad dan menguasai elemen tajwid, fasohah, tarannum, suara, hafaz lancar serta waqaf ibtida’.

Mohd Shahzihan dalam kenyataannya, memaklumkan akademi berkenaan juga bagi memberdaya pembinaan latihan al-Quran kepada imam masjid dan surau, guru al-Quran di sekolah, pemegang tauliah mengajar kitab suci itu serta hakim dan peserta tilawah serta hafazan al-Quran.

“Selain itu, memberi latihan intensif kepada mereka yang berpotensi dan berbakat dalam mempersenikan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, akademi berkenaan badan rasmi berautoriti bagi menegur dengan cara sesuai kepada mereka yang melakukan kesilapan dalam pembacaan dan penulisan al-Quran.

“Ia juga bagi membina kemahiran menulis kaedah Rasm Utmani dan Dabtul Quran, memberi pengetahuan secara asas berkaitan ilmu qiraat dengan menggunakan kitab muktabar serta menawarkan pelbagai kursus berkaitan ilmu al-Quran,” katanya.

Katanya, ketika ini, terdapat 60 pensyarah jemputan dilantik untuk mengendalikan pelbagai bidang pengajian yang ditawarkan.

“Dengan tertubuhnya akademi ini, maka secara rasminya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan menjadi hab al-Quran Selangor,” katanya.

Related posts

Leave a Comment