Tubuh jawatankuasa Kerajaan Perpaduan

KOTA KINABALU 10 Jan. – Parti Warisan di Sabah menyokong saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negeri itu, kata Presidennya, Mohd Shafie Apdal.

Justeru, sebuah jawatankuasa khas bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah perlu ditubuhkan secepat mungkin.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau bagaimanapun memaklumkan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan tidak akan menghadiri Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ke-16 yang berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, beliau bersama ADUN Warisan menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 dan RUU Bekalan Gas 2023 yang akan dibentang dalam mesyuarat tersebut selaras dengan perjuangan Warisan untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 dengan sepenuhnya.

“Saya yakin kedua-dua rang undang-undang ini akan mendapat kelulusan kerana hanya memerlukan majoriti mudah.

Namun ketidakhadiran kami pada sidang DUN hari ini adalah atas sebab perlunya untuk penubuhan secepat mungkin sebuah jawatankuasa khas bagi menentukan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah seperti yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri,” katanya.

Mengikut rekod, Parti Warisan mempunyai 19 ADUN di Sabah daripada 73 kerusi dipilih dan enam ADUN dilantik.

Related posts

Leave a Comment