Agihan kerusi PN hadapi PRN capai 80 peratus

TANJONG 10 Jan. – Perikatan Nasional (PN) sedang membincangkan pembahagian kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri dan ketika ini sudah mencapai 80 peratus, kata Timbalan Pengerusinya, Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, secara asasnya rundingan sudahpun dibuat sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi dan menjadi asas perbincangan untuk DUN.

“Sama ada keputusan perbincangan itu kekal, ia perlu dilihat kepada strategi, untuk hadapi pilihan raya,” katanya pada sidang media selepas majlis dialog bersama Gerakan di Pejabat Gerakan Pulau Pinang malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PN Pulau Pinang yang juga Presiden Gerakan  Dr Dominic Lau  dan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Abdul Hadi menjelaskan segala strategi perlu diatur dengan rapi sebagai persediaan bagi menghadapi PRN kelak

Beliau yang juga Presiden Pas berkata, segala persediaan sudah dibuat dan pihaknya yakin gabungan parti itu akan meraih kemenangan besar di enam DUN berdasarkan pencapaian gabungan itu pada PRU15 lalu.

Katanya, gelombang kemenangan besar PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah jelas menunjukkan kekuatan sebenar PN termasuk penerimaan rakyat terhadap gabungan parti itu.

Menurut Abdul Hadi,  hasil post mortem kemenangan berikutan gelombang itu memperlihatkan PN menang bagi kawasan-kawasan DUN.

“Kita harap kejayaan gelombang ini berpanjangan khususnya selepas kerajaan PH yang perintah hari ini, kerajaan yang tak menentu. Nak kata perpaduan bukan perpaduan, kalau perpaduan mestilah kerajaan itu tak ada pembangkang, atau ada pembangkang yang terlalu kecil tak ada peranan, jadi ia baru kerajaan perpaduan.

“Kalau separuh pembangkang, itu bukan perpaduan. Ini istilah pun tak betul kemudian masih banyak masalah tak selesai, kenyataan yang tidak dilaksanakan,” katanya.

PRN untuk enam negeri dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini yang melibatkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) serta Terengganu, Kelantan dan Kedah yang diterajui Pas.

Related posts

Leave a Comment