Hajiji tiada sokongan majoriti – KDM

KOTA KINABALU 7 Jan. – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) percaya, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri.

Presiden KDM,  Peter Anthony, berkata perkara itu merujuk kepada Perlembagaan Negeri Sabah, yang menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai ketua parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Seterusnya, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi.

Sehubungan itu KDM yang mempunyai tiga ADUN menyerahkan kepada kebijaksanaan dan budi bicara, Tun Juhar Mahiruddin selaku Yang Di-Pertua Negeri Sabah untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri Sabah yang baharu berdasarkan dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Negeri Sabah.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Dengan tindakan KDM, serta UMNO dan BN Sabah menarik sokongan malam ini, Kerajaan Sabah diterajui Hajiji hanya mempunyai sokongan 38 ADUN iaitu 29 daripada GRS, PH (tujuh), dan masing-masing seorang ADUN daripada Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas.

Parti Warisan mempunyai 19 kerusi, BN (18), KDM (3) manakala Pas satu kerusi.

Related posts

Leave a Comment