Sabah: PH kekal pendirian, tiada ‘pusingan U’

KOTA KINABALU 7 Jan. – Pakatan Harapan (PH) Sabah mengulangi pendiriannya, tidak bersetuju atau memberi sokongan kepada mana-mana pihak bagi melakukan gerakan menubuh sebuah kerajaan baharu melalui ‘pintu belakang’.

Dalam satu kenyataan bersama, tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH Sabah menafikan berita sebuah akhbar yang melaporkan PH Sabah melakukan pusingan U berhubung gerakan menyingkirkan Ketua Menteri, Hajiji Noor.

Menurut kenyataan itu, mereka mengambil pendirian untuk mengutamakan kestabilan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat Sabah, bukan jawatan serta kuasa.

PH Sabah menjelaskan sumber yang dipetik berita berkaitan ‘pusingan U’ itu membuat dakwaan yang tidak benar dan menyiarkan kandungan berbaur fitnah dengan tujuan memburukkan nama parti itu.

“Kami ingin memaklumkan bahawa PH Sabah tidak pernah setuju ataupun memberi sokongan kepada mana-mana pihak bagi menjalankan gerakan (move) untuk menubuh sebuah kerajaan baharu melalui pintu belakang,” kata kenyataan itu.

ADUN Sabah daripada PH, terdiri daripada Datuk Christina Liew (DUN Api-Api – PKR); Frankie Poon Fung Ming (Tanjung Papat – DAP), Ewon Benedick (Kadamaian-UPKO), Phony Jin Zhe (Luyang-DAP), Jannie Lasimbang (Kepayan-DAP), Tan Lee Fatt (Likas-DAP) dan Peto Galim (Inanam-PKR).

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan majoriti 40 kerusi. Ketika ini, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai Hajiji, mempunyai 32 kerusi, turut disokong lima ADUN daripada UMNO.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin, yang mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kepemimpinan Hajiji malam tadi, mempunyai sokongan 13 ADUN UMNO, manakala Warisan yang diketuai oleh Shafie Apdal mempunyai 19 kerusi, manakala KDM diketuai  Peter Anthony mempunyai 3 kerusi.

Related posts

Leave a Comment