Hajiji mahu rombak Kabinet Sabah

KOTA KINABALU 6 Jan. –  Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengesahkan Kabinet negeri Sabah bakal dirombak tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan ringkas petang ini, Hajiji berkata, maklumat terperinci berkaitan rombakan akan dikeluarkan dalam masa terdekat

Rombakan itu difahamkan susulan perkembangan semasa politik di negeri ini selepas spekulasi cubaan menukar kerajaan negeri tersebar semalam.

Cubaan menukar kerajaan itu dipercayai dilakukan menerusi kerjasama Parti Warisan (Warisan) dan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Selain itu, rombakan berkenaan juga dipercayai ada kaitan dengan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) terhadap kepemimpinannya.

Rombakan itu dijangka menyaksikan beberapa ahli kabinet BN digugurkan daripada jawatan dan digantikan dengan ADUN PH.

Nama-nama yang turut disebut akan digugurkan antaranya Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri Pelancongan Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Jafry Ariffin.

Semalam tujuh ADUN PH mengulangi sokongan terhadap Hajiji ketika hadir bersama ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Majlis Ramah Mesra Tahun Baharu 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Tujuh ADUN PH, iaitu masing-masing empat dari DAP, dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang ADUN Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) sebelum ini menyatakan sokongan kepada Hajiji sejurus GRS yang diketuai Hajiji menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu. 

Related posts

Leave a Comment