BN Sabah tarik balik sokongan kepada Hajiji

KOTA KINABALU 6 Jan. – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan menarik balik sokongan dan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

Dengan pengumuman itu, BN malam ini secara rasmi menamatkan kerjasama atau persefahaman membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020.

Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam pengumuman pendirian itu berkata, Hajiji telah melanggar persefahaman yang dibuat di antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau berkata keputusan sebulat suara pemimpin UMNO Sabah itu dibuat selepas mengambil kira tindakan Hajiji memecat Pengarah Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut dengan mengumumkan rombakan Kabinet negeri.

Katanya, persefahaman itu antara lain menyebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN / UMNO akan memberi sokongan dan kepercayaan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri selagi pelantikan Jemaah Menteri serta pengerusi syarikat milik kerajaan negeri daripada BN / UMNO seperti termaktub dalam perjanjian persefahaman politik dihormati.

“Hari ini Ketua Menteri mengeluarkan surat penamatan kepada Salleh selaku Pengerusi Qhazanah Sabah dan mengugut kita mengenai rombakan Kabinet tanpa berbincang dengan kita

Jadi kami sebulat suara membawa UMNO dan BN Sabah menarik diri daripada kerajaan negeri dan sokongan terhadap Hajiji.

“Kami sudah hilang kepercayaan dan selepas Hajiji keluar daripada Bersatu, kami bincang dengan beberapa peguam yang memaklumkan bahawa Hajiji hilang ‘locus standi’ dan tidak layak menjadi Ketua Menteri,” katanya pada sidang media di sini.

Bung Moktar mendakwa pihaknya bertindak selepas melihat Perlembagaan Negeri dan mengambil tindakan balas apabila Hajiji melanggar perjanjian yang dimeterai sebelum ini.

Mengenai sama ada BN dan UMNO akan membentuk kerjasama dengan parti lain termasuk Parti Warisan (Warisan) untuk membentuk kerajaan baharu, Bung Moktar berkata perkara itu belum dipastikan dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag dan Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, ketika ini UMNO Sabah mempunyai 18 ADUN termasuk Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama) yang baru menyertai parti itu.

Bagaimanapun, katanya lima ADUN UMNO tidak menyokong keputusan dibuat pihaknya dan bakal berdepan tindakan.

Berikutan tindakan ADUN UMNO itu, kerajaan negeri pimpinan Hajiji masih mempunyai 42 kerusi daripada 79 kerusi keseluruhan termasuk enam kerusi ADUN Dilantik.

Sementara itu, Bung Moktar mendakwa Hajiji bukan lagi ketua parti politik bagi maksud Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah apabila beliau mengisytiharkan keluar daripada Bersatu iaitu pihak di dalam perjanjian persefahaman politik.

“Dengan penarikan sokongan kepercayaan ini juga, Hajiji hilang majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan tidak berkelayakan untuk dilantik ke jawatan Ketua Menteri.

“Justeru, bersesuaian dengan kehendak Fasal 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah dibaca bersama Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah, BN / UMNO akan menyembah maklum kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk melaksanakan fungsi selaku Ketua Negeri dengan menyemak pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment