OPR keputusan BNM bukan kerajaan

PUTRAJAYA 4 Jan. – Penetapan Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah keputusan Bank Negara tanpa perlu campur tangan Kementerian Kewangan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“(Perubahan berhubung) OPR adalah keputusan Bank Negara (Malaysia) dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tetapi itu adalah ‘wewenang’ (kuasa) BNM,” katanya.

“(Perubahan berhubung) OPR adalah keputusan Bank Negara (Malaysia) dan bukan Kementerian Kewangan. Kalau nak bincang, saya boleh bincang. Tetapi itu adalah ‘wewenang’ (kuasa) BNM,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.

Beliau menjawab soalan berhubung impak dan tindakan oleh Kementerian Kewangan susulan jangkaan kenaikan OPR sebanyak dua kali oleh BNM.

Menurutnya, BNM diberi mandat untuk mempromosikan kestabilan monetari dan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berterusan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, satu perbincangan bersama membabitkan Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli akan dilakukan sebelum merangka Belanjawan 2023.

“Saya ingat pendekatan ini yang saya pernah lakukan dulu. Saya tidak asing, kerana tindakan mana-mana pihak itu akan juga melibatkan dasar ekonomi keseluruhannaya,” katanya.

Sementara itu, Anwar  berkata, cadangan memansuhkan atau mengurangkan pencen anggota Kabinet harus diteliti dan dirujuk semua pihak kerana ia membabitkan soal peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, adalah tidak munasabah untuk menghapuskan pencen pesara termasuk bekas anggota Kabinet.

Katanya, apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah membatalkan kemudahan biasa dan peruntukan kereta untuk anggota Kabinet berikutan ia membabitkan pentadbiran dan bukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad sebelum ini bahawa kerajaan mampu menjimatkan antara RM100 juta hingga RM150 juta perbelanjaan negara setiap tahun sekiranya pencen bekas anggota Kabinet dimansuhkan.

Noor Amin dilaporkan berkata, berdasarkan sistem semasa negara dan jumlah bekas Kabinet yang layak menerima pencen, kos yang ditanggung untuk Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen adalah RM100 juta hingga RM150 juta setahun.

Related posts

Leave a Comment