Varian menular di China dikesan tahun lalu

PUTRAJAYA 3 Jan. – Varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang sedang menular di China, dikesan berada di Malaysia sejak Mac dan Ogos tahun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kemuncak penularan varian BA.5.2, adalah sekitar September hingga Oktober tahun lalu dan banyak ditemui di Afrika Selatan, England, China dan Amerika Syarikat (AS).

“Ia dikesan di Malaysia sejak 16 Mac 2022. Sehingga 31 Disember 2022, data terkini mendapati 4,152 kes dijangkiti dengan BA.5.2. Kini prevalen varian ini semakin menurun di seluruh dunia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, varian BF.7 pula dikesan di Malaysia sejak 21 Ogos tahun lalu dengan kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemui di negara seperti Belgium, England, Denmark dan juga China.

Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak tiga kes dikesan dijangkiti dengan BF.7.

Kes pertama dikesan pada 21 Ogos 2022, dan kes jangkitan tempatan; kes kedua pada 6 September 2022, adalah kes import jangkitan dari negara Turki; dan kes ketiga pada 7 Oktober 2022, jugakes jangkitan tempatan.

Semalam, Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan memaklumkan varian BA.5.2 dan BF.7 Covid-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7.

Katanya , situasi ini akan disemak dari semasa ke semasa apabila berlaku perubahan ketara yang memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam.

“Perkara ini akan diumumkan segera oleh WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) kepada semua negara anggota pertubuhan itu serta penduduk secara am.

Beliau berkata, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini.

Katanya, kedua-dua varian berkenaan tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Lineage Under Monitoring (LUM) WHO.

Related posts

Leave a Comment