PUTRAJAYA: Riadah di kolam renang, aktiviti di pawagam dan mesyuarat akan dibenarkan bermula 1 Julai ini tertakluk kepada pematuhan prasyarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu tertakluk kepada pematuhan prasyarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Aktiviti riadah kolam renang dibenarkan di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar serta kolam renang persendirian di mana prasyarat setiap lokasi mestilah menyediakan life guard dan pemantau atau penyelia bagi memastikan keselamatan serta bilangan pengguna selain masa penggunaan terkawal.
“Bagi aktiviti pawagam, teater dan live event, ia hanya dibenarkan beroperasi di dewan tertutup sahaja yang tidak melebihi 250 individu,” katanya.
Kerajaan juga bersetuju memberi kebenaran untuk penganjuran mesyuarat, persidangan, seminar, kursus dan latihan dengan syarat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan termasuk jumlah peserta tidak melebihi 250 orang.
“Pada dasarnya, kebenaran ini meliputi semua organisasi yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia dan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) untuk mengadakan mesyuarat agung dan mesyuarat-mesyuarat lain.
“Kebenaran ini juga meliputi semua mesyuarat, termasuk mesyuarat agung bagi syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.
Selain itu, koperasi yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Persatuan-Persatuan yang berdaftar di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dibenarkan untuk mengadakan mesyuarat termasuk mesyuarat agung.