Bersatu kalahkan puak ekstremis – Guan Eng

BAGAN 3 Jan. – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mengajak rakyat bersatu mengalahkan puak-puak ekstremis yang ingin memecah belahkan rakyat supaya dapat menumpukan perhatian kepada masalah ekonomi negara dan menghapuskan amalan rasuah.

“Hanya bila kita teguh bersama barulah Malaysia akan maju bersama,” katanya melalui hantaran di Facebooknya hari ini.

Katanya, kerajaan Perpaduan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong akan terus fokus kepada ekonomi agar rakyat hidup lebih selesa, mempunyai peluang kerja dan kebajikan semua dilindungi.

Sebelum itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan hadir pada majlis perasmian Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan.

Hadir sama pada perasmian itu veteran DAP Lim Kit Siang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying.

Beliau berkata walaupun sudah lama beroperasi tetapi perasmian pusat khidmat itu hari ini bagi menandakan iltizam baharu untuk terus komited dalam berkhidmat dan membela nasib rakyat.

“Saya menzahirkan sekali lagi jutaan terima kasih kepada penyokong dan pendokong yang memastikan kemenangan besar kita di Parlimen Bagan sehingga semua lawan hilang deposit buat kali pertama dalam sejarah pilihan raya Bagan.

“Ini terus membakar semangat saya untuk terus berkhidmat sebaik mungkin,” kata Guan Eng yang menang dengan majoriti 49,648 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, Guan Eng memperoleh 55,797 undi mengalahkan tiga calon lain iaitu Alan Oh (PN) 6,149 undu, Tan Chuan Hong (BN) 5,385 dan Mohamed Hafiz Mohamed Abu Bakar (Pejuang) 1,323.

Ini penggal keempat Guan Eng memenangi kerusi Bagan selepas kali pertama bertanding di situ pada 2008.

Related posts

Leave a Comment