PAU 2022 hanya bahas ucapan dasar

KUALA LUMPUR 3 Jan. – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 11 hingga 14 Januari ini hanya membahaskan usul ucapan dasar Presiden, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

Katanya berkata, berbeza dengan perhimpunan agung sebelum ini, hanya satu usul saja akan dibahaskan yang tentunya akan menyentuh hal pendidikan, agama, ekonomi, politik dan antarabangsa.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata, seramai 2,648 perwakilan bersama 174 pemerhati dijangka hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022.

Bercakap pada sidang media hari ini, Ahmad menjelaskan rasional hanya satu usul kerana PAU kali ini diadakan dua hari berbanding tiga hari sebelum ini, selain kedudukan parti hanya sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“UMNO bukan lagi memegang tampuk pentadbiran kerajaan sepenuhnya dan kebanyakan isu yang dibangkitkan, UMNO tiada Menteri dalam kerajaan bagi menjawabnya di pentas parti.

“Kalau usul ekonomi, kita tiada menteri dari UMNO maka sukar menteri berkaitan menjawab di pentas parti. Sama seperti isu kos sara hidup, kita tiada menteri yang menjaga isu ini dan boleh menjawab, walhal itu isu popular yang akan dibangkitkan, maka sebab itu kita tumpu ucapan dasar Presiden,” katanya.

‌Dalam perkembangan berkaitan, katanya keputusan mengenai sama ada Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim dan wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan hadir pada perhimpunan itu akan diputuskan mesyuarat bulanan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.

“Perkara ini kita akan bincangkan pada mesyuarat bulanan MKT, Khamis ini dan malam ini akan diadakan mesyuarat Pengurusan parti dipengerusikan Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) juga bincangkan perkara itu,” katanya.

Mengulas keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang memutuskan dasar No Bersatu, No Anwar, No DAP’, katanya keputusan itu sudah tamat tempoh.

“Memandangkan parti perlu membuat keputusan besar dan Perhimpunan Agung UMNO tidak dapat memutuskannya maka mengikut perlembagaan parti, MKT boleh buat keputusan besar parti.

“Maka, kita terima dengan keputusan MKT yang mahu bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan UMNO, katanya perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan MKT.

Berdasarkan pindaan perlembagaan UMNO tahun lalu, pemilihan parti akan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU) seperti ditetapkan dalam pindaan Perlembagaan UMNO.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO yang diputuskan parti itu sebelum ini.

Kelulusan itu menyaksikan pemilihan UMNO di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu PRU Parlimen (Dewan Rakyat).

Ahmad juga berkata, UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 13 Januari ini bagi meminda Perlembagaan parti bagi disesuaikan dengan pelaksanaan peraturan antilompat parti melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu membabitkan Fasal 20.11 yang menyebut seseorang ahli yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan pada pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya, untuk disesuaikan dengan Undang-undang antilompat parti yang diluluskan Parlimen.

“Perhimpunan Agung Khas itu juga membolehkan Ketua Penerangan Bahagian secara automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun, membabitkan pindaan pada Fasal 8.4,” katanya.

Related posts

Leave a Comment