Kerugian kebakaran Jakel hampir RM100 juta

SHAH ALAM 1 Jan. – Kebakaran di bangunan Wisma Jakel, gedung tekstil terkemuka di Seksyen 7 di sini menyebabkan kerugian dianggarkan hampir RM100 juta.

Bagaimanapun jumlah itu hanya membabitkan nilai bangunan, manakala jumlah sebenar masih belum dapat dianggarkan.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel, berkata cawangan berkenaan membawa keuntungan kepada syarikat kira-kira RM300 juta setahun.

Katanya, insiden kebakaran itu berlaku sekitar pukuk 7 hingga 7.15 pagi tadi yang mana beliau dimaklumkan oleh adiknya yang juga pengurus Jakel cawangan terbabit.

Bangunan ini nilainya kira-kira RM100 juta membabitkan 19 rumah kedai dan lima rumah kedai lima tingkat.

Api dipercayai bermula daripada bahagian pakaian lelaki di tingkat satu, bagaimanapun punca sebenar masih belum diketahui.

“Ini kerugian besar kepada syarikat bagaimanapun kami reda dengan ketentuan Allah ini dan saya yakin ada hikmah serta yakin Allah akan ganti dengan lebih baik. Sebagai orang Islam kita kena percaya,” katanya ketika di lokasi kebakaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, dalam satu kenyataan berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 7 pagi dan anggota polis bertugas menjalankan kawalan lalu lintas serta keselamatan di lokasi kejadian.

“Punca kebakaran dipercayai akibat litar pintas di premis itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Related posts

Leave a Comment