PH perlu menang 37 kerusi DUN Pulau Pinang

BAYAN LEPAS 1 Jan. – Pakatan Harapan (PH) perlu mempertahan dan mengekalkan 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PH, Chow Kon Yeow, ketika mengingatkan demikian berkata, pimpinan PH  di negeri itu,  tidak boleh memandang remeh kepada ‘Tsunami Hijau’ iaitu lencongan sokongan pengundi kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata adalah penting bagi gabungan parti itu meletakkan objektif tinggi dalam PRN.

“Sasaran kita (PH) sekurang-kurangnya 37 kerusi, kalau kita letak sasaran yang lebih rendah, (maka) lebih rendahlah pencapaian kita.

“Adalah penting untuk meletakkan objektif tinggi dalam PRN…kita perlu atur strategi, kerja keras pada setiap peringkat Parlimen dan DUN serta mula bekerja dengan serius,” katanya di sini hari ini

Kon Yeow berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Teh bersama Jentera PRU15 Kawasan Dewan Undangan Negeri (Kadun) Batu Maung di Sungai Ara di sini yang turut dikongsi menerusi laman Facebook beliau.

PH pada PRU lalu memenangi 37 kerusi tetapi hilang empat kerusi apabila dua wakilnya meninggalkan PKR, dua kekal bersama Bersatu manakala dua lagi kerusi milik Barisan Nasional (BN) dan satu diwakili Pas.

Sementara itu Kon Yeow turut meminta rakyat Pulau Pinang membantu kerajaan diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam membina semula negara.

“Kita mengharapkan Kerajaan Persekutuan ini boleh kekal, jangan ulangi ‘kerajaan 22 bulan’ sekurang-kurangnya habis satu penggal (PRU15),”katanya.

(Foto Fb Chow Kon Yeow)

Related posts

Leave a Comment